Tidak dapat dibayangkan kesakitan yang dialami oleh seorang wanita yang terjatuh ke dalam lubang di hujung sebuah eskalator yang rosak di Stesen KL Sentral pada malam 30 September lalu. Memetik kenyataan dalam laman Facebook rasmi Rapid KL, wanita tersebut mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dirawat dengan segera. "Keadaan beliau stabil dan masih di bawah pengawasan pasukan perubatan hospital. "Pihak keluarga beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan dan doa," kata Rapid KL bagi mengulas mengenai kejadian yang tular dalam media sosial itu.
Dalam perkembangan sama, eskalator yang rosak itu telah diberhentikan perkhidmatan dan kawasan kejadian ditutup manakala polis bantuan ditempatkan bagi menjamin keselamatan penumpang. Siasatan turut dijalankan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan proses itu dijangka mengambil masa seminggu. "Kerja penyelenggaran eskalator ini dikendalikan oleh Antah Schindler Sdn. Bhd. Berdasarkan rekod, kali terakhir eskalator ini diselenggara ialah pada 28 September 2019. "Rapid KL akan memberi kerjasama sepenuhnya untuk memastikan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca," jelasnya. Rapid KL turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang menjalankan pemeriksaan dalaman bagi semua eskalator yang terdapat di stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT sebagai langkah berjaga-jaga. "Kami memohon maaf atas kesulitan dan ketidakselesaan yang dialami oleh pengguna," kata Rapid KL. Tindakan tegas perlu diambil sekiranya berlaku kecuaian bagi mengelakkan insiden yang boleh mengancam keselamatan penumpang itu berulang. - CARI |
ADVERTISEMENT