Merinding bulu roma bila dengar cerita Siti Saerah yang berdepan perkara mistik baru-baru ini. Katanya, ketika itu dia sedang menjalani rakaman muzik video lagu berjudul Suara di sebuah hutan di Kuang, Selangor.
Dia hanya menyedari kewujudan entiti berkenaan selepas melihat video dari telefon bimbit yang dirakam oleh pembantu peribadinya. Tambah adik kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza ini, dia ada didatangi seorang lelaki yang membawa budak kecil. Lelaki berkenaan memberitahu pihak produksi yang kawasan itu didakwa mempunyai penunggu.
"Masa itu, saya sedang sibuk dan tak sedar apa-apa yang berlaku. Yang pasti, dalam hati ada rasa seram, macam ada yang memerhati. "Saya ada dengar macam ada orang yang berjalan di belakang saya sebab ada bunyi tapak kaki pijak ranting-ranting yang patah," tulisnya di Instagram. Siti Saerah kata, ianya seperti mimpi ngeri memandangkan penggambaran itu dibuat di tengah hutan pada waktu walam dengan memakai pakaian Che Siti Wan Kembang.
"Penggambaran dibuat pada Khamis malam Jumaat, jam 12 malam. Pasang lilin, taburan bunga kubur, ditambah lirik dan bunyi teramat menakutkan. Ibarat suatu upacara pemujaan. Demi karya terulung, terpaksa gagahkan diri,"tambahnya. Lagu Suara merupakan runut bunyi bagi filem Anak Perjanjian Syaitan yang mengisahkan tenyang pasangan yang sudah tujuh tahun berkahwin, namun belum dikurniakan cahaya mata. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|