“Janganlah dolak-dalik, lakukan proses peralihan kuasa ini dengan baik, berhemah dan mulia setidak-tidaknya sebelum 9 Mei tahun depan." Bekas Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berdolak-dalik untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri sebagai menghormati perjanjian peralihan kuasa selama dua tahun.
Katanya seperti dipetik dari Malaysia Gazette, lebih baik Dr Mahathir berundur secara mulia sebelum perkara lampau berulang. “Janganlah apa yang berlaku masa Tun M masih dalam UMNO itu berulang lagi. Bagaimana beliau dihalau dari UMNO satu ketika dahulu, jangan sehingga itu berulang. “Ikut perjanjian, kata dua tahun. Buatlah seperti yang dijanjikan, ingat apa yang pernah berlaku sebelum ini, kita tidak mahu halau seperti UMNO dulu,” katanya pada Konvensyen Reformis 2019 yang dianjurkan oleh Otai Reformis’98 di sini hari ini.
Tegasnya, Majlis Mesyuarat Presiden Pakatan Harapan (PH) akan bersetuju dengan proses peralihan tanpa sebarang bantahan kerana itu adalah janji untuk mengangkat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengganti Dr Mahathir. “Tun sendiri pernah meminta Anwar supaya tidak terburu-buru setelah diberi pengampunan malah Anwar sendiri telah memberitahu beliau hendak berehat selain ke luar negara melawat sahabat-sahabatnya terlebih dahulu. “Tun sendiri bersetuju dengan cadangan Anwar ketika itu. Tidak ada soal Anwar terburu-buru merampasa kuasa dan sebagainya,” tegas beliau. Dakwanya, Dr Mahathir kembali kepada ‘cara lama’ pemerintahannya iaitu tidak menjiwai perjuangan reformasi yang sebelum ini menjadi laungan ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-14. “Sebelum beliau mendapat kuasa, sikapnya lain. Selepas berkuasa, beliau kembali kepada ‘perangai’ lamanya. Beliau tidak dapat jalankan tanggungjawab seperti kehendak rakyat. “Jangan lupa juga, reformasi 98 ini wujud kerana Tun Mahathir menolak perjuangan kita pada masa itu. “Jika peralihan ini tidak berlaku, Otai Reformis akan pastikan ianya berlaku, tiada kompromi,” ujarnya lagi. - CARI
|
ADVERTISEMENT