Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU - Seorang nenek tidak menyangka asap yang dilihatnya adalah berpunca dari rumahnya sendiri yang terbakar.
Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi di Kampung Bukit Bayas itu, Wan Esah Abdullah, 85, bersama cicitnya Wan Muhammad Aiman Wan Badrol Azhar, 8, sedang membeli ikan di sebuah gerai tidak jauh dari rumahnya.
Beliau berkata beliau tidak sempat menyelamatkan sebarang harta bendanya termasuk dokumen penting.
"Ketika itu tok sedang beli ikan. Tok nampak asap tebal dari jauh, tapi tok tak sangka asap itu datang dari rumah tok.
"Bila dah nampak api baru tok tahu rumah tok terbakar. Masa itu tok dah tak sempat nak selamat apa-apa, hanya tengok saja," katanya kepada pemberita.
Sementara itu cicitnya yang dibelanya sejak kecil asyik menangis dengan kejadian itu.
Pegawai Bomba Tinggi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozali Hussin berkata pihaknya menghantar tiga jentera dengan 19 anggota untuk memadam kebakaran tetapi mendapati api sudah marak membakar hampir keseluruhan rumah mangsa dan turut merebak ke dua buah rumah lain yang berhampiran.
Namun dua rumah rumah tersebut berjaya diselmatkan, katanya.
Punca kejadian masih disiasat.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|