DAP bersedih kerana perhimpunan bagi membantah pengajaran tulisan jawi di sekolah vernakular anjuran Dong Jiao Zong yang sepatutnya berlangsung di Kajang pada 28 Disember terpaksa dibatalkan berikutan bantahan pihak tertentu. Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng mempersoalkan mengapa perhimpunan tersebut dihalang sedangkan Kongres Maruah Melayu dibenarkan. Dia menyatakan, tiada sebab perhimpunan anjuran Dong Jiao Zong itu dihalang jika Malaysia Baharu percaya terhadap kebebasan bersuara. "Mungkin ada pihak tidak bersetuju, tetapi ini adalah satu aspek Malaysia Baharu," katanya seperti dipetik daripada laporan Malaysia Gazette pada 30 Disember. Mahkamah pada 27 Disember memutuskan perhimpunan berkenaan boleh menjejaskan ketenteraman awam dan menyebabkan ia dibatalkan. Guan Eng yang juga Menteri Kewangan menambah, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang. Dia turut mendakwa, sikap talam dua muka yang ditunjukkan pihak pembangkang dalam isu tulisan jawi bukan sahaja tidak produktif, malah boleh menjejaskan keamanan negara. "Mereka ini tidak kiralah sama ada UMNO, PAS atau MCA. Ini amat bahaya," katanya lagi. Bila mahkamah sudah mengeluarkan perintah pembatalan, mesti ada alasan yang kukuh di sebalik keputusan itu. - CARI
|
ADVERTISEMENT