|
PKR nampaknya semakin tidak sabar menunggu proses peralihan jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Memetik laporan Sinar Harian Online pada 8 Januari, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mahu Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bertindak segera membincangkan dan memuktamadkan perkara itu. Beliau percaya langkah itu boleh menghentikan pelbagai spekulasi dibuat pihak tertentu yang berupaya mengurangkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan. "Paling penting sekarang, Majlis Presiden PH harus duduk berbincang dan memuktamadkan perkara ini. Itu yang kita hendak," katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Harian di Putrajaya pada 7 Januari. Saifuddin juga menyatakan, Dr. Mahathir sedar bahawa jawatan Perdana Menteri yang disandangnya adalah hasil konsensus Majlis Presiden PH sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14. Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menjelaskan, Dr. Mahathir mengakui hakikat itu dalam mesyuarat post mortem PH selepas Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai. "Beliau menerima hakikat bahawa PH akan bincang tentang formula peralihan. Itu sangat jelas," katanya. Sebelum ini, Angkatan Muda Keadilan (AMK) pernah menggesa Sekretariat PH menetapkan tarikh peralihan kuasa antara Dr. Mahathir dan Anwar. Namun, Dr. Mahathir pula mengumumkan peralihan kuasa kepada penggantinya akan dilaksanakan selepas Sidang Kemuncak Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 akhir tahun ini. Agak-agaknya, ada peluangkah Anwar menjadi Perdana Menteri kelapan selepas Dr. Mahathir? - CARI |

ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
14-2-2026 07:25 AM GMT+8 , Processed in 0.108361 second(s), 27 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.