Gigih membersihkan troli beg dan kawasan di KLIA bagi melindungi orang awam daripada dijangkiti koronavirus, pekerja di lapangan terbang itu dipuji warganet.
Menerusi laman Facebook Penang Kini yang memuat naik beberapa keping gambar menunjukkan pekerja di KLIA ini menggunakan penutup mulut dan sarung tangan ketika mencuci peralatan dan kawasan yang dilalui orang ramai. Kawasan yang menjadi tumpuan misalnya pemegang lift, troli dan papan tanda sentiasa dibersihkan bagi mengelakkan jangkitan kuman. Ramai di kalangan warganet berasa berterima kasih dan kagum dengan usaha pekerja KLIA ini dalam melindungi orang awam menerusi 'cara mereka'.
"Tabik! Bukan semua hero bertopi, ada yang menggunakan kain buruk dan alat pembasmi kuman," komen seorang warganet. Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan sentiasa mengamalkan kebersihan termasuklah mencuci tangan, memakai penutup mulut dan menutup mulut ketika batuk dan bersin. - CARI
|
ADVERTISEMENT