Walaupun selepas lebih setahun berlalu, suspek-suspek yang dipercayai terlibat dalam insiden yang menyebabkan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim masih belum dihadapkan ke mahkamah. Allahyarham meninggal dunia selepas tiga minggu terlantar di hospital akibat kecederaan parah yang dialami akibat dipukul semasa bertugas di kawasan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, Subang Jaya pada 26 November 2018. Prosiding inkues yang berakhir pada 27 Disember 2019 memutuskan bahawa kematian Muhammad Adib berpunca daripada perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali. Sehubungan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil tindakan segera terhadap kes tersebut. "Menyegerakan siasatan dan pendakwaan terhadap mereka yang dikaitkan dengan kes pembunuhan yang menyayat hati melibatkan anggota bomba, Allahyarham Adib," katanya dalam kenyataan yang disiarkan oleh portal UMNO Online pada 12 Mac. Gesaan itu merupakan salah satu daripada enam perkara yang dikemukakan oleh Majlis Tertinggi UMNO kepada kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk diambil tindakan segera. Selain itu, UMNO menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat segala tuduhan salah laku dan penyelewengan yang dilemparkan oleh Pakatan Harapan (PH) terhadap Barisan Nasional (BN) dan pengurusan Lembaga Tabung Haji yang terdahulu. Kerajaan juga digesa menilai semula keputusan penjualan secara lambak aset-aset strategik negara dan agensi-agensi berkepentingan rakyat termasuk Tabung Haji, Khazanah Nasional, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan semua syarikat milik kerajaan (GLC). "Demi memenuhi prinsip Rule of Law yang sebenar, UMNO mendesak kes-kes penyelewengan yang dihentikan perbicaraannya oleh kerajaan PH dibuka semula, ini termasuklah kes skandal rasuah terowong dasar laut dan 3 lebuh raya melibatkan pemimpin DAP bernilai RM6.3 bilion," kata Ahmad Zahid. Agenda kerajaan terdahulu di bawah PH untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) perlu dibatalkan kerana ia dilihat sengaja mahu mengongkong dan mengekang tugas serta tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kerajaan turut diminta membekukan keputusan pemberhentian kakitangan awam berstatus kontrak, dasar pengurangan kakitangan awam dan mengkaji semula dasar yang memastikan kebajikan penjawat awam terbela. Diharap kerajaan yang baru dibentuk ini mengambil tindakan segera bagi memperkukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap prinsip kedaulatan undang-undang. - CARI
|
ADVERTISEMENT