Membuat pengakuan di Instagram (IG), penyanyi dan pelakon Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin akhirnya berkongsi kisah perceraian dengan bekas suami selepas hampir lima tahun merahsiakan status dirinya.
Amelina yang mesra dipanggil Kaklong mendedahkan beliau sebenarnya sah bercerai pada 29 Jun 2016 iaitu selepas 17 tahun berumah tangga. Beliau bagaimanapun menyatakan rasa syukur kerana kes perceraian itu berlangsung dengan lancar tanpa kekecohan. Amelina turut menyebut beberapa nama yang banyak membantu dalam mengendalikan kes perceraiannya seperti Rizz Iskandar (Peguam), Liza Ilias (Isteri Ajai), dan pengurusnya Brian Micheal.
"Terima kasih tidak terhingga kepada pihak Mahkamah Tinggi Syariah Seremban sangat-sangat membantu Kaklong pada masa itu. Kaklong berkahwin 26hb April 1999 dan perkahwinan Kaklong berakhir 29hb June 2016," tulisnya di ruang kapsyen. Berkongsi detik hitam itu, Amelina akui beliau mengalami kemurungan dan hilang keyakinan diri selepas bercerai. "Awalnya Kaklong rasa kemurungan, amat sedih dan hilang keyakinan diri. Adakah Kaklong mampu dalam usia yang senja ini menanggung dan mencari rezeki untuk enam orang anak yang sedang membesar? "Tetapi, Kaklong ingat dan yakin. Golongan ibu tunggal ini sangat dipandang tinggi dalam masyarakat dan agama. Buktinya Kaklong sentiasa disayangi dan apa yang Kaklong buat untuk mencari rezeki sentiasa mudah dan di permudahkan," tulisnya lagi.
Amelina mengakhiri perkongsian ceritanya dengan memberi nasihat kepada semua peminat supaya menjaga diri, bersikap merendah diri dan sentiasa memberi aura positif kepada orang lain. Amelina berkahwin dengan Reduan pada 26 April 1999. Hasil perkongsian hidupnya dengan Reduan, mereka dikurniakan enam anak iaitu Puteri Nur Athirah, 19; Putera Al Affiq, 18; Putera Al Asyraff, 17; Puteri Nur Asyurah, 15; Putera Al Arffa, 13; dan Putera Al Amzar, 11. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|