Tahniah buat Fazura yang kini hamil empat bulan. Isteri kepada Fattah Amin ini berkongsi berita gembira itu melalui Instagramnya.
Menurutnya dia tidak mengalami alahan, "Sejak disahkan berbadan dua, belum pernah lagi saya mengalami alahan teruk atau muntah-muntah pada waktu pagi seperti kelazimannya. Cuma ada rasa penat sedikit. "Saya bersyukur kerana Tuhan mempermudahkan urusan saya. Mujur juga tiada alahan, kalau tidak, mesti ramai yang boleh hidu berita kehamilan saya ini. "Walaupun tanpa alahan tapi rasa mengidam itu tetap ada dan boleh dikatakan sepanjang masa. Sebelum ini, saya tak suka masakan pedas tapi sejak mengandung, saya jadi suka pula," katanya eksklusif kepada BH Online. Pada mulanya Fazura ragu-ragu dengan hasil ujian pada pengesan kehamilan. "Memandangkan soal kehamilan adalah bersifat peribadi dan tak mahu heboh pada peringkat awal, saya memilih menggunakan alat pengesan kehamilan dan hasilnya positif. "Masih tak puas hati, saya lakukan ujian buat kali kedua dan hasilnya tetap sama iaitu positif. Untuk lebih yakin, saya buat lagi ujian sama. Kali ini saya menggunakan alat pengesan kehamilan digital dan tertera di skrin mengatakan saya hamil. "Selepas tiga kali melakukan ujian, barulah saya benar-benar yakin diri berbadan dua," tambahnya.
Aktres jelita ini juga meluahkan rasa syukur atas berkat doa dari keluarga tersayang, rakan-rakan dan peminat. Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. -CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|