TIADA KILANG ROTI BENGGALI ULI TEPUNG MENGGUNAKAN KAKI
Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan mengesahkan bahawa sebuah kilang roti di Balik Pulau , telah diarahkan ditutup dalam operasi “Ops Food Court” yang dijalankan pada 8 Oktober 2013 lalu. Kilang roti tersebut gagal mematuhi elemen penting aspek kebersihan.
Bagaimanapun, kilang roti tersebut, bukannya kilang roti benggali di Bayan Baru yang dilaporkan menggunakan kaki untuk menguli tepung sepertimana laporan sebuah akhbar tabloid berbahasa Melayu bertarikh 10 Oktober 2013.
Laporan media pada 13 Oktober 2013, memetik Presiden Persatuan Penjual-penjual roti Pulau Pinang, L Manogaran mengesahkan tidak terdapat kilang roti benggali di Bayan Baru. Beliau turut menegaskan kilang roti benggali menggunakan mesin uli sejak berpuluh tahun, dan bukannya kaki seperti dilaporkan. Bahkan, Datuk Maridas Gopal, rakan kongsi Maliia Bakery turut mengesahkan tidak ada kilang roti benggali yang menerima notis penutupan pada operasi “Ops Food Court”.
Pertemuan saya dengan pegawai Jabatan Kesihatan Negeri hari ini mengesahkan dalam operasi yang dijalankan itu, pihaknya tidak menemui kilang roti benggali menguli tepung dengan kaki sepertimana yang dilaporkan sebuah akhbar tabloid. Operasi “Ops Food Court” yang dijalankan di Daerah Barat Daya membabitkan 115 premis dengan 12 premis diarah tutup , tidak disertai oleh wartawan.
Selain pegawai Kementerian Kesihatan, operasi itu turut disertai Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Operasi itu menumpu premis makanan di kompleks penjaja.
Selaku Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna saya begitu kesal dengan laporan tidak tepat akhbar berkenaan yang menimbulkan keresahan dan salah sangka pengguna. Ia juga tidak adil kepada pengilang dan penjual roti benggali Pulau Pinang yang terjejas perniagaan mereka kerana laporan tidak tepat itu. Saya ingin tegaskan kerajaan negeri memandang serius aspek kebersihan, khususnya di premis makanan dan pembuatan makanan Pulau Pinang.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|