Presiden Tanzania, John Magufuli pada Ahad mempersoalkan jumlah kes Covid-19 yang meningkat mendadak di negaranya dengan 480 kes dan 16 kematian pada Rabu lalu. Menurut AFP, Magufuli menggesa pihak berkuasa membuat siasatan berikutan bimbang berlaku sabotaj.
Situasi itu menyebabkan kerajaan itu dikecam hebat oleh pihak pembangkang kerana didakwa menyembunyikan maklumat dan gagal menangani wabak itu dengan serius. Katanya, mereka yang diuji positif mungkin sebenarnya tidak dijangkiti Covid-19. Ini kerana, ujian terhadap pelbagai haiwan dan buah-buahan yang dilakukan secara rahsia menimbulkan keraguan apabila betik, kambing dan burung puyuh disahkan positif virus berkenaan. "Ini bermakna ada kemungkinan berlaku masalah teknikal ketika melakukan ujian menggunakan kit yang diimport itu," ujarnya.
Menurut laporan, Tanzania merupakan salah satu negara di Afrika yang tidak menganggap pandemik itu sesuatu yang serius. Walaupun sekolah dan institusi pengajian tinggi ditutup, pasar, perhentian bas dan kedai masih beroperasi seperti biasa. Malah, presiden itu juga tidak menghalang rakyatnya daripada terus bekerja serta mengunjungi gereja atau masjid. Pada Ahad, dia mengutuk seorang pemimpin Muslim yang menutup masjid besar di Dar es Salaam pada Jumaat sebagai langkah mengelak penularan wabak maut itu. "Ia sesuatu yang janggal menghalang orang ramai daripada memasuki masjid yang dibina oleh mereka sendiri. (Jangan pergi) kalau kamu takut, tapi jangan halang orang lain. Lagipun, krisis ini masih di tahap terkawal," katanya. - CARI
|
ADVERTISEMENT