Bekas Setiausaha Politik Khalid Abdul Samad, Azli Yusof menafikan beliau mengeluarkan arahan pembangunan (DO) palsu kepada sepasang suami isteri yang didakwa menipu seorang arkitek untuk mendapatkan kelulusan projek di Kuala Lumpur. Beliau yang juga Ketua Parti Amanah Negara Shah Alam, arkitek terbabit membuat aduan kepada polis setelah mendapati DO yang diterima adalah palsu. Azli memberitahu, broker juga mendakwa bahawa beliau terlibat kerana memberi dokumen tersebut. "Saya telah menafikan dakwaan itu kerana saya sangat memahami bahawa DO hanya boleh dikeluarkan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus kepada pihak arkitek atau konsultan. "Tidak pernah DO rasmi diberikan kepada mana-mana pegawai menteri untuk diserahkan kepada pihak pemohon," katanya seperti dilaporkan Malaysia Dateline.
Kelmarin, Khalid mengesahkan Azli reman bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan. Azli turut menafikan beliau mengambil habuan dari perkhidmatan yang diberikan oleh broker kepada arkitek tersebut. Malah, Azli mendakwa broker telah menyamar sebagai dirinya dalam aplikasi WhatsApp ketika berkomunikasi dengan arkitek bagi meyakinkan mereka seolah-olah DO itu sahih. "Saya telah memberikan keterangan kepada pihak siasatan jenayah mengikut apa yang telah terjadi dan menafikan terlibat dengan pemalsuan dokumen, perbincangan dengan arkitek dan penerimaan apa-apa habuan dari urusan mereka," jelasnya. Semoga kebenaran akan terbongkar apabila kes ini dibicarakan di mahkamah kelak. - CARI
|
ADVERTISEMENT