Penerbit kulit buku kontroversi Rebirth hari ini meminta maaf selepas didakwa menghina Jata Negara. “Satu, kami memang tak sengaja mahu hina atau apa-apa.
“Kedua, walaupun kami tak sengaja, kalau sudah buat sesiapa rasa kurang senang, ada menyinggung perasaan mereka, itu saya minta maaf. Pada masa depan, kita akan lebih sensitif,” kata Pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya, Chong Ton Sin kepada Malaysiakini. Sebelum ini, sekumpulan pemuda dari MIC, MCA, Umno dan PAS membuat laporan polis dan mendesak pihak terbabit dalam pembuatan kulit buku berkenaan disiasat serta dikenakan tindakan kerana dikatakan menghina Jata Negara. Berikutan itu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin semalam memaklumkan pihaknya sudah mengarahkan polis menyiasat perkara berkenaan.
“Kulit buku ini satu lukisan sudah lama berapa tahun dulu. Ada pamer di sebuah pameran di Sarawak dan lukisan itu dikatakan sudah habis jual." Chong atau Pak Chong juga mendakwa dia tidak pasti sama ada editor yang menghubungi pelukis atau sebaliknya bagi mendapatkan lukisan pada kulit buku itu. “Saya pun khuatir pada masa itu tapi saya tidak kata jangan. Saya cakap kamu semua buat keputusanlah,” katanya. Katanya, dia bersedia memberi kerjasama kepada pihak polis yang dipercayainya akan datang ke pejabatnya hari ini. Sementara itu, pereka grafik Fahmi Reza menerusi Twitter juga memberi kenyataan sama dengan mendakwa imej pada kulit buku tersebut adalah lukisan yang pernah dipamerkan pada enam tahun lalu. - CARI
|
ADVERTISEMENT