Remaja berusia 17 tahun tergamak menjual teman wanita sendiri menerusi aplikasi MiChat. TribunNews melaporkan, suspek dan mangsa, 15, baru tiga bulan menjalin hubungan cinta tetapi sudah tinggal sebumbung di sebuah bilik sewa.
Difahamkan, remaja terbabit ditahan ketika terbabit dalam satu pergaduhan di Pematang Siantar, Sumatera Utara pada Sabtu lalu. Selepas disoal, mangsa mendakwa sudah sembilan kali dijual kekasihnya menerusi aplikasi MiChat dengan bayaran sekitar 300,000 Rupiah (RM85). Hasil jualan digunakan untuk menanggung kos kehidupan seharian seperti membeli makanan dan membayar sewa bilik. Difahamkan, mangsa berkenalan dengan suspek menerusi Facebook sebelum mereka menjalin hubungan asmara. Bagaimanapun, polis masih menyiasat kes berkenaan kerana telefon bimbit digunakan untuk urusan jual beli itu hilang.
Selepas membuat pemeriksaan, polis percaya kedua-dua remaja terbabit datang dari keluarga bermasalah. Pun begitu, polis sudah menghubungi keluarga mereka, manakala kedua-dua remaja itu kini dilaporkan sedang menjalani pemeriksaan dan sesi kaunseling. Polis kini memburu seorang lagi suspek yang terbabit dalam pergaduhan berhubung kes penjualan mangsa. Ketika pergaduhan itu, telefon bimbit remaja terbabit dirampas suspek lain. - CARI
|
ADVERTISEMENT