Pernah terjebak dengan dadah, Radhi OAG bakal berkongsi pengalaman hitamnya itu menerusi radio dalam talian, Manthul FM yang bakal dilancarkannya pada 10 Oktober. Lebih menarik, anak vokalis kumpulan itu, Aishah, 5, akan menjadi penyampai radio dalam salah satu segmen.
"Alhamdulillah.,saya dan team akan membuka satu studio dan melancarkan radio online pertama dan slot kelolaan saya nanti akan mengetengahkan mengenai individu yang terjebak dadah. "Sudah lama saya pasang impian nak kongsi pengalaman hidup dan saya tidak malu untuk akui saya seorang recovering addict kerana inilah kehidupan saya sekarang. "InsyaAllah, 10 Oktober ini kita akan lancarkan Manthul FM... saya salah seorang penyampai! Untuk slot kendalian saya itu nanti kita akan bercerita tentang pengalaman, tapi jangan risau ada juga segmen lain yang menarik dalam radio itu nanti," katanya kepada mStar. Nekad membangkitkan semangat bekas penagih, Radhi bersedia dihujani kecaman andai mana-mana pihak kurang senang dengan penubuhan Manthul FM. "Mungkin dengan berkongsi ilmu ini nanti dapat beri manfaat kepada orang lain, kalau mereka terbuka untuk berkongsi, saya lagi suka! "Selalunya, orang kita ni dia ada perasaan malu dan segan nak mengakui apabila terjebak benda-benda ni. Dalam program kami ini beri kebebasan mereka bercerita apa sahaja!," ujarnya. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|