Remaja lelaki melompat di hadapan kereta api di Okazaki, Aichi selepas membunuh ibu saudaranya pada Sabtu. Menurut Fuji TV yang dipetik Japan Today, suspek berusia 16 tahun itu menikam Maima Inagaki, 46, sekitar jam 11.30 pagi di rumah datuknya.
Polis mengesahkan menerima panggilan daripada ibu mangsa yang mendakwa anak perempuannya telah ditikam cucu lelakinya itu. Menurut laporan, mangsa yang ditikam beberapa kali di dada dan perut dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia lebih sejam kemudian. Difahamkan, berikutan kejadian, suspek keluar dari rumah dan 20 minit kemudian, dia melompat di hadapan sebuah kereta api di JR Tokaido Line, dua kilometer dari rumah berkenaan. Suspek dilaporkan maut serta merta dan identitinya dikenal pasti melalui barangan peribadi di dalam poketnya. Ibu mangsa mendakwa, sebelum kejadian berlaku pertengkaran antara cucu dan anaknya yang dikatakan baru menetap di rumah berkenaan pada Sabtu. - CARI
|
ADVERTISEMENT