Mila Jirin mendedahkan yang dia melalui kehidupannya dulu adalah serba kekurangan. Disebabkan itu hasratnya untuk menyambung pengajian di menara gading terus dilupakan.
"Saya anak sulung dalam keluarga dan ibu bapa pula bekerja biasa dengan pendapatan kecil. Bapa saya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan aktiviti lainnya, turut memungut tin di tepi jalan. "Saya sendiri ada pengalaman ikut bapa pungut tin, memang kasihan. Ibu pula bekerja di kilang untuk bantu pendapatan bapa bagi menyara kami sekeluarga. "Malah, pernah satu ketika atap rumah kami berlubang, bocor dan rosak akibat tak dapat diganti kerana tiada duit. Bila hujan, basah satu rumah dan itu sangat menyedihkan saya," katanya kepada Harian Metro.
Kehidupannya itu menyebabkan dia nekad untuk mengubah nasib keluarga. "Kejayaan menjulang trofi juara AF5 sangat membantu saya untuk mengubah nasib keluarga. Dengan populariti diraih ketika itu, saya dapat memberi keselesaan pada ibu bapa dan adik-beradik.
"Apapun, saya terfikir juga sampai bila akan jadi penyanyi dan terus popular. Justeru, sedikit demi sedikit melalui simpanan dibuat, saya mula berniaga. "Alhamdulillah, mujur bertemu suami saya, Isz Mustapha, ketika itu yang bertindak sebagai pengurus dan dia banyak membantu dengan mengajar saya selok-belok berniaga," tambahnya. Kini sudah tujuh tahun perniagaan Bizmilla dibina. "Apapun, kejayaan dimiliki saya kini adalah atas doa ibu bapa dan usaha. Namun, saya juga berterima kasih kepada semua pekerja yang banyak membantu dan hingga kini masih setia bersama." -CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|