PETALING JAYA – Tindakan pelakon Shahiezy Sam menggantung vape di lehernya ketika menjadi penyampai anugerah bagi kategori Artis Baharu Popular pada majlis Anugerah Bintang Popular ke-33 mengundang teguran pengendali akaun Facebook Public Health Malaysia (PHM). Dalam satu perkongsian, PHM menyifatkan aktor Polis Evo itu mempromosikan penggunaan vape dalam kalangan masyarakat. “Jangan sembang pasal Prosedur Operasi Standard (SOP) jika vape pun dipromosikan,” tulis PHM pada sekeping poster yang dimuat naik dalam Facebook. Perkongsian PHM turut mendapat pelbagai reaksi pengguna laman sosial yang rata-ratanya kesal dengan sikap suami Syatilla Melvin itu. Masing-masing menyifatkan bapa anak dua itu tidak sensitif. “Memang sedia maklum dalam rancangan hiburan yang ditonton oleh keluarga pelbagai peringkat umur tidak boleh mempromosikan rokok, arak termasuk vape,” kata salah seorang pengguna. Seorang lagi pengguna Facebook dalam komennya telah menduga tindakan pelakon tersebut menggantung vape sambil memakai baju Melayu akan mendapat kecaman. Shaheizy ketika dihubungi Kosmo! mengakui terlupa untuk menanggalkan vape di lehernya sebelum keluar ke pentas utama. “Terlupa sebab kelam-kabut. Memang sejak dahulu lagi, saya ke hulu ke hilir bawa banyak vape sebab bateri cepat habis,” katanya kepada Kosmo! Online. Selepas dikongsikan hampir setengah jam, status PHS mengundang lebih 3,500 komen dan 644 perkongsian pengguna Facebook. Sumber – K! ONLINE
|
ADVERTISEMENT