PALU: Ekstremis yang berkaitan dengan Daesh membunuh empat orang dalam komuniti Kristian terpencil di pulau Sulawesi Indonesia, kata pihak berkuasa hari ini, dengan satu mangsa dipenggal dan seorang lagi dibakar hingga mati. Kumpulan penyerang yang menggunakan pedang dan pistol menyerang kampung Lembantongoa di provinsi Sulawesi Tengah pagi semalam, membunuh beberapa penduduk dan membakar enam rumah, termasuk satu yang digunakan untuk beribadat dan khidmat biasa, kata polis. Belum ada tangkapan yang dilakukan dan motif serangan itu tidak jelas. Namun, pihak berkuasa menuding jari kepada Mujahidin Indonesia Timur (MIT) yang berpusat di Sulawesi, salah satu dari puluhan kumpulan radikal di seluruh kepulauan Asia Tenggara yang telah berjanji setia kepada Daesh. Indonesia, negara majoriti Muslim terbesar di dunia, telah lama bergelut dengan serangan militan dan keganasan Islam, sementara Sulawesi Tengah telah menyaksikan keganasan berulang antara orang Kristian dan Muslim selama beberapa dekad. "Kami membuat kesimpulan bahawa mereka (penyerang) berasal dari MIT selepas menunjukkan gambar anggotanya kepada saudara-mara mangsa yang menyaksikan serangan itu," kata ketua polis daerah Sigi, Yoga Priyahutama. Gereja sementara itu kosong ketika serangan awal pagi oleh sekitar lapan militan, tambahnya. "Orang ramai berada di rumah mereka ketika kejadian," kata Priyahutama. Ketua kampung Lembantongoa, Rifai, yang seperti kebanyakan orang Indonesia hanya menggunakan satu nama, mengatakan seorang mangsa dipenggal dan yang lain hampir dipenggal. Seorang mangsa lelaki lain ditikam, manakala yang keempat dibakar hingga mati di rumahnya, tambahnya. "Beberapa penduduk berjaya melarikan diri, tetapi mangsa tidak berjaya," kata Rifai kepada AFP. Umat Kristian Indonesia telah menjadi sasaran pada masa lalu, termasuk pada 2018 ketika kumpulan yang dikaitkan dengan Daesh Jamaah Ansharut Daulah melancarkan gelombang pengeboman bunuh diri oleh keluarga - termasuk anak-anak - di gereja-gereja di kota kedua terbesar di Surabaya, yang membunuh belasan penganut. Sumber - AFP/bharian.com.my
|
ADVERTISEMENT