Gara-gara mengalami perubahan fizikal yang semakin kelihatan berisi, penyanyi Siti Sarah dihujani ucapan tahniah kerana disangka hamil. Malah, suaminya yang juga penyampai radio Hot FM, Shuib turut membeli ujian kehamilan bagi membuktikan perkara itu.
"Dia gembira dan terus beli alat ujian kehamilan beberapa hari sebelum saya buat persembahan pada program Lagu Cinta Kita 2. Saya faham dia teruja. "Kemudian apabila tengok hasilnya, dia terus cakap saya hamil. Tapi rupanya tidak sebab yang muncul hanya satu garis. Saya tidak letak harapan untuk hamil lagi, tapi saya tidak menolak kalau Allah berikan rezeki zuriat," katanya. Mengenai perubahan berat badannya hingga menimbulkan spekulasi dalam kalangan peminat, penyanyi lagu Manis itu menjelaskan ia berpunca kesan perubahan hormon serta pengambilan ubat-ubatan sejak dua tahun lalu. "Saya mengalami perubahan hormon yang agak ketara sekali gus mengalami peningkatan berat badan secara mendadak. Jujurnya, situasi ini berlaku lebih dua tahun lalu iaitu ketika saya berdepan masalah 'anxiety'. "Sejak itu, saya mula sedar berat badan meningkat lebih 20 kilogram. Spekulasi ramai yang mengatakan saya hamil adalah tidak betul. Apapun, terima kasih kepada peminat yang peka dengan perubahan fizikal saya. "Saya juga tidak tahu untuk beri reaksi bagaimana apabila ada yang menyangka saya hamil. Bagaimanapun, saya sayangi diri ini dalam apa sahaja rupa bentuknya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Sarah muncul dengan single duet bersama Hazama, Terakhir Buat Teman. Melodi indah yang diciptakan Allahyarham Lok U atau nama sebenarnya Faizal Uzir pada awalnya adalah untuk mengenang kedua orang sahabatnya yang pergi menghadap Ilahi terlebih dahulu. Lagu hasil ciptaan Lok U bersama Aji sebagai tanda mengenang Allahyarham Kelly yang terlebih dahulu pergi meninggalkan mereka.
Pun begitu, lagu itu tidak sempat disiapkan apabila Aji meninggal dunia dan Lok U ketika itu cuba menyiapkan lagu berkenaan, namun dia juga meninggal dunia pada 22 Januari lalu. Seterusnya bersama Indigital Music, proses pembikinan diteruskan Genervie bersama pemain gitar, Emi, manakala lirik oleh Iman Imran. Pada majlis pelancaran single itu, Sarah dilihat terlalu sebak mengenangkan kisah persahabatannya bersama Allahyarham Lok U. Menurut Sarah, dia terpaksa mencari kekuatan untuk terus menyanyikan lagu itu yang mana dia enggan meletakkan sepenuh perasaannya kerana khuatir tidak dapat meneruskannya.
"Memang saya antara orang paling terkesan apabila Lok U meninggal dunia. Kami pernah 'jamming' sama-sama untuk menyiapkan lagu yang ditujukan buat dua rakan yang lain. "Tapi akhirnya dia pergi tanpa pesan. Saya bersyukur kerana ramai rakan Allahyarham mahu turun padang dan menyiapkan juga karya ini. Setidaknya saya mampu tersenyum apabila hasratnya untuk menghasilkan lagu disambung oleh yang lain," katanya. -CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|