Biarpun sekadar terbabit dalam dua babak sebagai Julia dalam filem Gila Gusti, penyanyi dan pelakon Elizabeth Tan tetap berasa teruja. Elizabeth atau lebih mesra dengan panggilan Lizzie berkata, wataknya hanya memerlukan dia tampil sebagai 'announcer' dalam gelanggang gusti, namun ia sudah memadai.
"Saya bukan heroin dalam filem ini kerana ia lebih kepada watak penggusti. Saya terima watak ini kerana saya suka berlakon. "Lagipun saya memang minat 'combat sports'. Saya minat UFC (Ultimate Fighting Championship) dan MMA (Mixed Martial Arts). Saya masih lagi ke kelas MMA hampir setiap minggu. "Ia kelas secara peribadi dan saya boleh sesuaikan masa ikut kelapangan. Berkenaan gusti, ia pengalaman pertama dan bagi saya ia sesuatu yang menghiburkan," katanya.
Selain Lizzie, filem terbitan Lomo Pictures Sdn Bhd serta rakan penaja rasmi Quick Sent dan Quin Media itu turut membariskan pelakon terkenal Syafie Naswip, Instafamous Aisar Khaledd, pengasas gusti Malaysia, Ayez Shaukat Fonseka dan penggusti Nor 'Phoenix' Diana. Filem arahan Silver Chung itu akan memulakan penggambaran pada awal Januari tahun depan.
Menurutnya, dia kini lebih selektif dalam menerima tawaran kerana perlu disesuaikan dengan masa. "Maksudnya saya tak boleh ambil semua tawaran kerana takut bertembung dengan projek lain. Saya akan minta skrip dulu dan kalau okay dan saya sukakan wataknya, baru saya terima. "Untuk tawaran ini, apabila dengar berkaitan gusti saya terus terima kerana saya suka pada 'fighting'," katanya.
Bercerita kesan pandemik Covid-19 terhadap kerjaya seninya, seperti orang lain, Lizzie juga terpaksa menghabiskan masa di rumah. "Saya tidak duduk diam apabila memulakan perniagaan sendiri dengan jual baju jenama Izzi untuk lelaki. Kebanyakan kawan-kawan saya lelaki. "Saya percaya saya tak boleh bergantung kepada karier ini selamanya. Ini faktor saya mulakan perniagaan. Kalau dah tua nanti sekurang-kurangnya saya sudah ada simpanan. Saya mencuba dan ia adalah pencapaian saya tahun ini.
"Saya baru lancarkan sekali. Minggu depan, saya akan lancarkannya lagi untuk tujuan kebajikan. Saya akan bagi sumbangan untuk MERCY Malaysia," katanya. Ditanya mengenai kisah peribadi, penyanyi lagu Semua Sudah itu merancang untuk berkahwin dalam tempoh tiga tahun lagi. "Saya sudah merancang kahwin lagi tiga tahun. Ini memang betul. Saya tak boleh tunggu lama lagi. Sekarang usia saya sudah 27 tahun dan tiga tahun lagi amat sesuai untuk berkahwin. "Berkenaan calon, saya belum boleh jawab. Mungkin ada dan mungkin tak. Sukar untuk saya mengaku kerana kebanyakan peminat saya adalah lelaki.
"Jika saya umumkan apa-apa saja, ia akan membabitkan karier saya. Saya mengaku takut hilang peminat. Namun usia 30 adalah masanya. Saya akan kahwin dan punyai anak dan semua orang akan tahu," katanya. Dalam masa sama, Lizzie tidak menafikan penampilan dirinya yang seksi menjadi faktor diminati ramai golongan lelaki. "Mungkin juga. Saya rasa pengurusan pertama saya lengkapkan saya dengan imej begini atau macam 'The Girl Next Door' yang semua orang boleh terima dan semua lelaki boleh terima.
"Lagipun saya lebih senang berkawan dengan lelaki berbanding wanita. Kebanyakan kawan-kawan juga lelaki. Kalau dikatakan penampilan saya di media sosial 'mengundang' tumpuan lelaki, selagi mama saya tak cakap apa-apa, saya okay. "Jika dia kata sesuatu barulah saya akan padam gambar itu dari media sosial. Dah tentu saya dapat banyak mesej mengarut tapi saya buat tak tahu," katanya. Lizzie yang pernah berdepan depresi akibat percintaan terdahulu mengakui dirinya kini semakin matang selepas dikecewakan. "Saya lebih matang dari dulu. Banyak yang saya belajar dari pengalaman. Saya rasa saya kendalikannya lebih baik sekarang. Saya sayang diri sendiri lebih dari dia. "Dulu saya okay apabila dia tipu dan pukul saya. Waktu itu saya terlalu sayangkan dia dan nak sehidup semati," katanya.
Lizzie akan muncul dengan single berkonsep balada ciptaan Omar K yang akan dinyanyikan secara duet dengan seorang penyanyi lelaki pada bulan depan. Mengenai sambutan Hari Krismas yang akan disambut tidak lama lagi, Lizzie akan meraikannya di rumah bersama keluarga seperti tahun sebelumnya. -CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|