Kisah hubungan pengacara terkenal Neelofa dan Pencetus Ummah (PU) Riz yang didakwa sudah berakhir turut mendapat perhatian pendakwah bebas PU Rahmat. Dia meminta semua pihak menghormati Neelofa yang sudah memberi penjelasan mengenai semua dakwaan terhadap dirinya dan PU Riz dan mendoakan yang terbaik untuk pasangan itu. "Lofa (Neelofa) sudah pun jelaskan mengatakan semua itu fitnah. Akaun Twitter yang spill tea pun dah ghaib. Ada tiga hal kita belajar kali ini. Mana-mana berita perlu diselidik, pertunangan fasa yang berat dan pernikahan bukan hanya hal dua jiwa tapi hal dua keluarga. "Semoga semuanya baik-baik buat Riz dan Lofa. Seperti mana yang diminta Lofa agar kita mendoakan yang baik-baik. Maka kita doakan yang baik-baik. Jika tidak mahu mendoakan, kita hanya perlu diamkan diri. "Jika kita tidak mahu ambil peduli. Itu juga salah satu tanda kebaikan. Di antara baiknya Islam seseorang adalah apabila meninggalkan sesuatu yang tiada kaitan dengannya," tulisnya. Pemilik nama Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan itu memuat naik paparan skrin status di laman Twitter miliknya dan berkongsi pendapat mengenai isu tersebut di Instagram. Pada Sabtu lalu, kisah mengenai hubungan Neelofa dan PU Riz hangat diperkatakan netizen selepas adik-beradik usahawan itu asyik berkongsi status berbaur sindiran yang dipercayai ditujukan kepada PU Riz. Neelofa tampil menerusi sebuah video menolak tuduhan-tuduhan yang dianggap telah menjejaskan nama baik dan maruah keluarganya pada malam Ahad. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT