Chukai: Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mengingkari arahan terutama meredah banjir di kawasan yang diletakkan papan tanda amaran. Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, pihaknya tidak akan berkompromi lagi dengan golongan itu apatah lagi, negeri itu mencatatkan beberapa kes pemandu meredah jalan yang sudah ditutup kerana dinaiki air dan terdapat laluan alternatif disediakan. "Kita tidak akan bagi peluang dan memaafkan mana-mana individu yang berdegil dan ingkar dengan arahan diberikan. "Sebelum ini, kita tidak ambil apa-apa tindakan namun selepas ini tindakan akan diambil mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana gagal mematuhi isyarat papan tanda.
"Bagi kesalahan itu, individu yang ingkar boleh dikenakan kompaun sehingga RM300," katanya ketika melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman dan menyampaikan sumbangan kepada pegawai dan anggota yang terjejas akibat banjir. Roslee berkata, penguatkuasaan itu juga langkah melindungi orang ramai memandangkan terdapat individu yang hanyut bersama kenderaan apabila meredah air. "Kita berulang kali mengingatkan pemandu atau penunggang tidak mengambil risiko walaupun laluan itu adalah jalan yang biasa dilalui sebelum ini. "Air banjir ini biasanya keruh dan kita tidak nampak keadaan sebenar jalan yang mungkin suduh runtuh atau rosak disebabkan banjir seterusnya berbahaya untuk pengguna jalan raya," katanya. Sehingga kini, sebanyak tiga kes kenderaan meredah banjir direkodkan dengan semua kejadian itu berlaku di Kemaman. Insiden terbaharu berlaku kelmarin apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda dihanyutkan air di bawah Jambatan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di Chukai. Sumber : HarianMetro |
ADVERTISEMENT