Kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun diganggu dengan panggilan telefon merayu untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19. Menurut laporan Metro, Sophia Garcia dan ibunya, Emily Lewis bingung apabila telefonnya menerima panggilan daripada ramai orang tidak dikenali setiap masa.
Keluarga yang menetap di Sullivan, Missouri itu kemudian membuat siasatan menerusi dalam talian dan mendapati, nombor telefon Sophia rupa-rupanya hampir sama dengan nombor telefon Jabatan Kesihatan Arizona iaitu hanya satu nombor yang berbeza. Difahamkan, keluarga mereka berpindah dari Arizona ke Missouri beberapa tahun lalu dan masih menggunakan nombor lama untuk telefon bimbit yang kini dimiliki Sophia. "Khamis lalu merupakan satu malam yang panjang apabila telefon Sophia berdering tanpa henti. Ia berlaku secara tiba-tiba, 24 jam sehari," kata Emily kepada KTVI.
Sophia dan keluarganya pada mulanya menganggap insiden itu satu kejadian melucukan, namun mula tidak selesa apabila menerima 'gangguan' itu tanpa henti. Malah, mereka terpaksa mendengar mel suara daripada orang yang terdesak mendapatkan vaksin Covid-19. Sophia yang simpati dengan nasib orang ramai yang terdesak cuba membantu dengan memberikan nombor telefon yang betul. Dia turut merekod mesej mel suara untuk mereka yang tersalah nombor "Hai, ini iPhone Sophia. Jika anda ingin mendapatkan vaksin Covid, ini nombor mereka. 602..." - CARI |
ADVERTISEMENT