Taktik dua lelaki membawa masuk mercun bernilai RM360,000 ke Melaka menggunakan sebuah lori dengan pelekat “Misi Bantuan Mangsa Banjir” akhirnya tumpas apabila dicekup bersama enam individu lain, kelmarin.
Kedua-dua suspek masing-masing berusia 35 dan 39 tahun itu ditahan dalam serbuan Ops Limau di sebuah premis di Jalan Tampin – Alor, kira-kira pukul 6 pagi. Turut ditahan dalam serbuan itu adalah isteri kepada salah seorang suspek berusia 29 tahun. Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, ketiga-tiga suspek itu merupakan hasil tangkapan susulan serbuan pertama yang dilakukan di sekitar Melaka Tengah, pada Isnin lalu. “Pihak polis telah melakukan empat serbuan berasingan di sekitar Melaka Tengah dan berjaya memberkas lima lelaki tempatan berusia berusia 25 hingga 29 tahun selepas menemukan pelbagai jenis mercun bernilai RM150,000.
“Susulan tangkapan itu, kita membuat serbuan kedua di sebuah premis di Alor Gajah dan pemeriksaan ke atas muatan sebuah lori dengan pelekat “Misi Bantuan Mangsa Banjir” telah menjumpai mercun bernilai RM360,000. “Justeru, dua lelaki berbangsa tempatan dan seorang wanita warga Thailand ditahan bagi membantu siasatan,” katanya. Jelasnya, pihak polis percaya kedua-dua suspek tersebut telah mengaburi kegiatan mereka dengan menggunakan pelekat misi bantuan banjir yang ditampal pada lori untuk melepasi sekatan jalan raya (SJR) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ini. “Kita dapati terdapat juga mercun jenis bola dibungkus di dalam guni beras bagi mengaburi pihak berkuasa ketika mereka melalui SJR di negeri ini, malah kumpulan ini juga telah membuat surat kebenaran perjalanan palsu. “Nilai keseluruhan rampasan dalam Ops Limau ini adalah RM510,000 dan pihak polis percaya premis di Alor Gajah itu dijadikan gudang untuk menyimpan bekalan mercun sempena Tahun Baru Cina ini,” katanya. Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, bekalan mercun tersebut dipercayai dibawa masuk dari negara jiran dan kegiatan pengedaran dibuat menggunakan katalog yang dikongsi melalui aplikasi WhatsApp. Tambahnya, semakan lanjut turut mendapati, dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan dadah. Katanya, kesemua lapan suspek kini direman selama empat hari sehingga 6 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. Sumber: K!ONLINE |
ADVERTISEMENT