“LP KPM ingin menegaskan bahawa laporan sebuah akhbar berkaitan format peperiksaan SPM pada masa hadapan adalah tidak benar." Lembaga Peperiksaan (LP) Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan akan membuat rombakan atau transformasi terhadap sistem dan pensijilan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).
Berkata dalam satu kenyataan, pihaknya tidak pernah membuat sebarang pengesahan berhubung perkara berkaitan transformasi format peperiksaan SPM itu. “Pihak kami juga mendapati bahawa tajuk dan laporan akhbar tersebut telah menimbulkan banyak kekeliruan kepada orang ramai khususnya kepada calon peperiksaan SPM tahun 2020,” katanya. Kenyataan balas itu dikeluarkan selepas laporan sebuah akhbar mendakwa pihaknya memulakan langkah melakukan transformasi terhadap sistem dan pensijilan SPM yang telah berusia lebin 50 tahun, pada 7 Februari lalu.
Malah, ia melaporkan kononnya pakar pendidikan mengesyorkan KPM supaya mempraktikkan kaedah ‘open-book test’ bagi melatih pelajar berfikir dan bukan sekadar menghafal. Sehubungan itu, LP KPM menegaskan bahawa format peperiksaan SPM tahun 2020 adalah kekal seperti sedia ada dan pihaknya akan memaklumkan secara rasmi kepada orang ramai sekiranya terdapat sebarang perubahan kepada format peperiksaan SPM dan sistem pentaksiran. Sumber: K! ONLINE
|
ADVERTISEMENT