Difitnah dan dipandang serong masyarakat antara pengalaman perit dilalui wanita bujang, Nur A'minahtul Mardiah Md Nor, 38, dalam membesarkan anak angkatnya sendirian.
Menurutnya, statusnya yang belum mendirikan rumah tangga menjadikan dirinya mangsa tohmahan dan fitnah orang sekeliling kerana memelihara anak angkatnya, Ariq Haiqal Eusoff Abdul Qadir, 8, sejak lahir. "Memang bukan mudah membesarkan Eusoff kerana tohmahan orang luar yang amat menyakitkan hingga saya difitnah berzina dan dipandang serong gara-gara belum berkahwin. "Namun, kehadiran Eusoff dalam hidup saya amat bermakna dan menguatkan semangat dalam membesarkannya seperti darah daging sendiri. "Kini selepas lapan tahun, saya bangga melihat Eusoff membesar depan mata walaupun tak lahirkan dia, tetapi saya mampu memberikan kehidupan lebih baik kepadanya sekali gus menutup mulut orang yang tohmah saya dulu," katanya kepada Harian Metro.
Katanya, dia memelihara kanak-kanak itu lima jam selepas dilahirkan ibunya di Johor dengan mengikut prosedur yang sah. "Memang niat saya jika tidak berkahwin pada usia 25 tahun, saya ingin mengambil anak angkat, tetapi pada masa itu belum ada rezeki. "Namun, apabila ada peluang kebetulan ibunya tidak mampu memeliharanya, saya pun setuju walaupun ketika itu Eusoff masih dalam kandungan ibunya lagi. "Sejak itu, saya menjaga ibunya termasuk urusan rutin pemeriksaan bulanan, malah selepas Eusoff selamat dilahirkan pada 22 Februari 2013 pun saya masih tidak mengabaikan kebajikan ibunya," katanya. Menurutnya, dia sanggup mengambil pil dan suntikan hormon bagi menyusukan kanak-kanak itu ketika usianya masih bayi. "Saya mula mengambil pil dan suntikan hormon bagi merangsang pengeluaran susu badan tiga bulan sebelum Eusoff dilahirkan sebagai persediaan. "Alhamdulillah, walaupun sukar saya bersyukur dapat menyusukan Eusoff sehingga enam bulan pertama sebelum disambung kakak saya selama setahun dan seorang ibu susuan sehingga usianya mencapai dua tahun," katanya. Nur A'minahtul Mardiah berkata, hingga kini dia masih kekal berhubung dengan ibu Eusoff bagi memelihara hubungan dua beranak itu. "Eusoff memang sedia memahami status dirinya kerana sejak kecil lagi saya beritahu bukan saya yang lahirkannya dan dia masih ada ibu kandung. "Walaupun saya menganggap Eusoff seperti anak sendiri, namun saya tidak mahu hubungan mereka terputus, malah saya tidak menghalang kedua-duanya berhubung. "Saya tidak tahu apa alasan sebenar ibunya tidak mampu menjaganya dulu tetapi saya yakin ini semua aturan Allah dan saya bersyukur diberi peluang memelihara anak ini. Insya-Allah saya akan menjaga amanah ini," katanya yang merancang mengambil seorang lagi anak angkat. -CARI Sumber: Harian Metro
|
asmurai replied at 26-2-2021 12:37 PM
Org yg duk tuduh org perempuan berzina etc ni tak takut dosa besar ke ? Biasa yg menuduh ni dapat ki ...
dua_chzy replied at 26-2-2021 01:39 PM
Akak hairan tau bila ummah bujang nak buat gini, sampai sanggup susukan. Like, they have some kind o ...
ADVERTISEMENT