Perubahan positif yang dilakukan seperti menyanyi dan mengalunkan selawat Qomarun atau Purnama nyanyian bersama kumpulan UNIC dan perlahan-lahan mengubah dirinya ke arah kebaikan tidak bermakna Zizi Kirana, 36, bebas daripada 'haters'.
Sama ada disukai atau dibenci, bukanlah persoalan besar buat penyanyi bernama sebenar Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil ini. Zizi bagaimanapun sedikit gembira apabila beberapa perubahan dapat disaksikan menerusi komen di media sosialnya. "Alhamdulillah, akhirnya ada juga komen-komen yang positif buat saya berbanding sebelum ini banyak yang negatif. Tapi sebelum ini pun saya tak pernah ambil hati dengan komen mereka. Ia sudah jadi perkara biasa buat semua artis.
"Apa yang saya buat untuk program keagamaan itu bukan untuk meraih perhatian atau simpati mana-mana pihak," katanya. Menurutnya, dia hanya melakukan perkara ini atas kehendaknya sendiri atas niat untuk mengubah dirinya. "Saya tetap berpegang pada ayat biarlah orang nak kata apa, yang penting niat. Jadi saya cuba melakukan apa yang difikirkan baik. Sekarang saya bermula dengan perubahan dari segi pakaian dan penampilan. Ia berjalan sedikit demi sedikit. "Apa yang diharapkan sekarang ialah sokongan masyarakat bukannya kecaman. Saya mohon agar doakan saya berubah sepenuhnya nanti," katanya.
Menurutnya, sehingga kini masih ada yang mempertikaikan apa yang dilakukannya antaranya dalam lagu selawat terbabit. "Ada saja 'haters' yang masih berkata-kata, cuma bezanya ada ramai yang makin positif terhadap saya. Apapun saya berterima kasih kepada UNIC terutama Ustaz Fakhrul yang banyak memberikan kata-kata semangat. "Dari dulu lagi saya memang jenis malas dan tak ambil peduli komen orang. Saya tak nak peningkan kepala. Nak cakap apa pun, cakaplah. Saya okey saja," katanya.
Penampilan Zizi sebelum ini sering menjadi perhatian kerana berimej seksi dan dikatakan tidak sesuai dengan budaya tempatan. Seiring dengan perubahannya, dia memadam semua gambar seksinya di Instagram bagi memenuhi permintaan ibunya. Penyanyi lagu EH! ini berkata, dia sudah mengotakan kata-katanya apabila menyimpan pakaian seksi ini dalam kotak. "Saya tidaklah sampai buang terus pakaian-pakaian ini. Cuma ia dimasukkan dalam kotak dan diletakkan di tempat lain. Saya tak rancang pun lagi untuk bagi pada sesiapa. Hanya simpan dulu dan tak nak pakai lagi. Tak dinafikan perasaan kini lega kerana ramai pihak yang makin positif terhadap saya," katanya. Berbicara mengenai aktiviti seni, Zizi kini mengakui dirinya sibuk dengan rakaman lagu untuk Ramadan dan Aidilfitri.
"Alhamdulillah, rezeki masih menyebelahi saya dalam bidang seni. Saya juga akan merakamkan single terbaharu selepas EH! dalam masa terdekat. "Saya juga tak menolak tawaran berlakon dan sekarang terbabit dengan penggambaran sebuah drama. Apa saja cabang rezeki yang halal pasti saya akan terima," katanya. Dalam perkembangan lain, Zizi mengakui teruja menanti tarikh Anugerah Juara Lagu Ke-35 (AJL35) yang akan berlangsung pada 14 Mac nanti.
"Sejujurnya saya amat gemuruh, takut dan risau kerana ini pertama kali dalam hidup pergi ke pentas besar seperti AJL. Selepas itu saya tengok saingan yang bertanding pun semuanya hebat-hebat. Lagu-lagu semua ada karakter tersendiri. Tak kurang, banyak juga dugaan untuk AJL tahun ini kerana kita buat dalam keadaan pandemik Covid-19. Kena tukar lokasi, tarikh dan sebagainya akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya yang meminta peminat mendoakan semuanya berjalan lancar. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|