Walaupun industri seni diwarnai dengan ramai wajah baharu, pelawak dan pelakon Ropie mampu membuktikan kehadirannya masih kekal relevan pada usia 54 tahun.
Tidak hanya dihujani tawaran lakonan, Ropie atau nama sebenarnya Zahid Tajuddin masih dipilih sebagai duta produk. Terbaru, pelakon yang cukup sinonim dengan watak Pak Kodi dalam sitkom JKK ini dipilih menjadi duta produk kerepek keluaran Misabitez. "Saya bersyukur di usia setengah abad ini saya masih menerima pelbagai tawaran kerja termasuk menjadi duta. Ini semua rezeki untuk saya kongsikan dengan keluarga. "Macam tak percaya kehadiran saya masih diterima baik dan mendapat permintaan di sebalik ramai pendatang baharu sekarang ini," katanya.
Menurut Ropie, dia terkejut ketika menerima tawaran sebagai duta kerepek kerana menganggap dirinya sudah ' tidak layak' untuk memegang jenama sesuatu produk. Tidak kisah jika ada yang menggelarnya sebagai Ropie Kerepek kerana baginya gelaran itu hanya gurauan peminat. Sebagai seorang pelawak, dia tidak perlu berkecil hati dan terasa. Itu tandanya dia buat kerja sebagai duta dengan baik. "Sebagai artis, saya menerima banyak tawaran untuk ulasan makanan, lebih-lebih lagi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun, saya jenis yang kena rasa dahulu. Kalau sedap saya beritahu. Kalau tidak saya akan beri pendapat. Saya jujur orangnya. "Cuma bila dapat tawaran daripada pengeluar kerepek itu, saya tertarik. Mula-mula rasa memang tak cukup sebalang. Selepas berbincang dengan isteri, saya bersetuju. Lihat cara pembungkusan pun sangat menarik. "Lepas ini kalau ada yang gelar Ropie Kerepek pun saya okay. Baguslah itu tandanya peminat suka dan secara tidak langsung, ada peluang untuk kontrak disambung untuk 10 tahun!" katanya sambil ketawa. Tidak menyangka masih ada yang melihat dia mempunyai aura duta, Ropie sangat berterima kasih kepada pemilik produk itu, Muhamad Faiz dan Khairul Amin yang memberi peluang kepadanya. Lebih menarik perhatiannya adalah kesungguhan mereka membantu ramai orang menambah pendapatan. Apatah lagi ketika penularan Covid-19 di seluruh dunia, ramai yang terkesan. Dia juga menolak dakwaan nakal yang bertebaran kononnya dia menerima bayaran tinggi sebagai duta. Namun, katanya, andai dia dibayar tinggi maka itu bukan satu kesalahan tetapi rezeki. "Apabila berjumpa Faiz dan Amin, saya tertarik melihat cara mereka berniaga. Niat mereka mahu membantu orang yang dalam kesusahan. Ada ramai yang diberhentikan kerja dan pelbagai lagi masalah berkaitan kewangan. "Jadi mereka membuka peluang perniagaan untuk sesiapa yang mahu mencuba. Itu satu usaha baik dan sangat dialu-alukan. Saya juga akan cuba mempromosikan produk yang mempunyai 23 jenis itu," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT