Penyanyi Ezlynn mengakui dia kini sedang berkawan rapat dengan seorang lelaki bukan Melayu lebih setahun lalu. Menyifatkan hubungan mereka masih lagi baru, penyanyi yang sinonim menerusi lagu Hi Hi Bye Bye ini senang berkawan dengan si dia yang juga seorang pekerja swasta itu kerana sikapnya yang memahami dan berfikiran matang.
Ezlynn atau nama sebenar, Azline Ariffin, 39, bagaimanapun berserah kepada takdir apabila berkongsi bicara mengenai soal jodoh.
“Ya, saya sedang berkawan dengan seseorang. Dia bukanlah VIP, orang biasa sahaja. Masih saling mengenali dia dan keluarganya. Dia pun solo dan usianya beberapa tahun lebih muda daripada saya. “Bagi saya, dia seorang yang matang dan memahami. Kami berkenalan sekitar setahun dua. Bertemu ketika kami saling bermain badminton, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini. “Apa yang boleh saya kongsikan setakat ini, kita berkawan. Saya berserah, kalau Dia kata itulah jodoh saya, saya terima,” katanya kepada MH.
Ditanya sejauh mana keinginannya untuk kembali bergelar isteri selepas berpisah dengan bekas suami yang juga pengurusnya pada ketika itu, Adam Fahmy pada Oktober 2017, Ezlynn mengakui bukan mudah untuk kembali membina perhubungan baru. “Percubaan untuk mengakhiri zaman solo itu ada. Cuma bila ia tidak menjadi, membuatkan saya sedar sebenarnya kalau bergelar janda dalam tempoh lama, situasi itu menjadi agak sukar untuk memulakan perhubungan baru. “Bila kita sudah tahu apa yang hati kita ingini dan bila sudah tahu apa kelemahan seseorang lelaki itu… Kalau anda berada di tempat saya, mungkin anda tidak akan beri si dia peluang kedua atau ketiga dah. “Kalau buat silap sekali, ‘bye-bye’ lah. Jadi hal itu sukar buat saya sebab kita dah tahu apa yang kita mahukan dalam perhubungan. Mungkin juga saya selesa dengan status begini. Sebab saya sejak dulu sudah pun ‘survive’ sendiri. Kita tidak menyusahkan orang. “Sudah selesa, gembira macam ni. Kalau si dia datang nak buatkan kita gembira tak apalah, tapi kalau datang nak memeningkan atau menyusahkan, tidak payah. “Kalau ada yang boleh menggembirakan saya, Insya-Allah saya terimanya dengan hati terbuka,” katanya. -CARI Sumber: media Hiburan
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|