Dalam usia yang masih muda, tentunya jiwa, semangat dan kudrat untuk bekerja masih lagi dalam fasa yang penuh dengan tenaga. Bagi pelakon, Riena Diana, 23, ini adalah masa untuk dia meneroka pelbagai cabang dalam seni sekali gus mencuba pelbagai perkara yang mampu mencabar kemampuan dirinya.
Siapa sangka, menerusi watak mencuit hati dalam drama bersiri Kampung People dan Kampung People 2, Riena kini mencipta nama dalam satu lagi cabang seni yang lari jauh dari karier asalnya iaitu sebagai penyampai radio. Sedar tak sedar, sudah hampir sebulan Riena menggalas tanggungjawab sebagai penyampai untuk slot Geng Pagi Hot di stesen radio Hot FM dan dia sendiri semakin selesa dengan kerjaya itu.
"Pada peringkat awal, ada boss yang akan turun padang dan membimbing saya dan Mark Adam memandangkan kami masih baru dalam bidang penyampaian radio. Tapi, selepas dua minggu, kami diberi kepercayaan untuk mengendalikan sendiri program itu bersama Fizie," katanya. Menurutnya, dia yang awalnya sedikit malu untuk berceloteh kini mula sedar akan keserasian yang wujud antara ketiga-tiga mereka.
"Keserasian itu sudah dapat dilihat. Pada peringkat awal, saya seperti malu-malu juga tapi lama kelamaan, perangai 'buruk' masing-masing akan terkeluar juga dan tak dapat disembunyikan lagi. "Apabila kami sudah selesa dengan satu sama lain, ketika bersiaran pun kami berborak seperti kawan-kawan. Namun, saya sedar banyak lagi ruang yang boleh saya perbaiki dalam penyampaian saya," katanya. Tatkala penyampai radio sentiasa dikaitkan dengan komedi dan ada juga lawak yang dianggap oleh netizen sebagai tidak kelakar, itu sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan buatnya. "Sebenarnya risau juga kalau lawak yang saya buat tak kelakar atau 'cringe'. Namun, saya cuba jadi diri sendiri dan setakat ini, alhamdulillah ramai yang berikan maklum balas positif," katanya. Mengakui banyak mendapat pengaruh daripada kekasihnya yang berperwatakan lucu, Riena menggunakan idea-idea itu ketika berada di konti.
"Susah sebenarnya nak cari idea yang kelakar. Tapi, saya ada kekasih yang kelakar. Jadi, sedikit sebanyak ada idea yang dikongsikannya dan saya gunakan. "Selain itu, saya banyak juga menonton karya-karya komedi sebagai rujukan. Tapi, di konti pun, Mark dan Fizie sebenarnya sudah cukup kelakar. Kebanyakan lawak kami adalah secara spontan," katanya. Berbicara mengenai karier lakonan, ia masih lagi menjadi keutamaan Riena dan terbaru, dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Kisah Cinta Rumi.
"Saya baru saja selesai menjalani penggambaran drama bersiri itu yang akan ditayangkan di TV3. Kali ini saya bergandingan dengan Khai Bahar, Dynas Mokhtar dan Sharifah Rose," katanya. Berkongsi pengalaman berlakon dengan Khai Bahar, Riena yang begitu menghormati Khai yang baginya, seorang yang merendah diri dan baik hati. "Khai adalah artis yang baik dan sangat merendah diri. Dia selalu beritahu saya yang dia tak pandai berlakon. Padahal, saya pun masih lagi baru dalam bidang lakonan. "Tapi, apabila sudah bergandingan dengan dia, saya dapat katakan bahawa lakonan dia sebenarnya tidak kurang hebat kalau dibandingkan dengan pelakon-pelakon lain yang ada.
"Pada awalnya, susah juga nak dapatkan keserasian sebab dia pemalu. Tapi, saya cakap dekat dia yang kita sama-sama baru dan marilah kita sama-sama belajar. Lama kelamaan, dia makin selesa," katanya. Selain berlakon dan bertugas sebagai penyampai radio, Riena juga kini memegang tanggungjawab sebagai pengacara. "Setakat ini, saya masih mengendalikan program Gempak TV dan juga Muzikal Lawak Superstar sebagai pengacara digital dan belakang pentas. Itu pun satu pengalaman menarik untuk saya," katanya. Ditanya sama ada pernah timbul rasa penat bekerja, Riena tidak menafikannya.
"Penat memang penat. Tapi, kesibukan ini mengajar saya untuk menghargai masa. Kalau dulu, 'call time' jam 8 pagi pun saya dah rasa macam sangat awal. Tapi, sekarang saya mula bersiap sedia untuk bekerja seawal jam 4 pagi. "Sedikit sebanyak, saya rasa pengurusan masa saya sekarang lebih teratur. Penting untuk saya mengatur masa kerana saya tak mahu jatuh sakit. Yang penting, saya akan letak matlamat dan cuba capai apa yang saya inginkan," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|