Intan Najuwa menegaskan hubungan dia dan bekas tunangnya iaitu Razrul Anwar Rusli sudah lama berakhir namun punca perpisahan mereka bukan disebabkan orang ketiga seperti yang didakwa segelintir pihak.
Menurut Intan, 24, dia berharap tiada lagi mana-mana pihak yang cuba mengaitkan isu melibatkan dirinya dengan pelakon lelaki seperti Zul Ariffin yang terpalit kononnya menjadi punca perpisahan mereka. “Saya dan bekas tunang sudah lama putus... hubungan kami berakhir pun bukan disebabkan Zul atau mana-mana orang ketiga. Zul tiada kena mengena langsung. Saya tak nak libatkan nama orang lain dalam isu saya. “Saya harap selepas ini, tiada lagi mana-mana pihak yang cuba kaitkan nama orang lain. Saya tak kisah dikecam tapi jangan kaitkan orang lain dengan isu saya," kata Intan kepada mStar. Pemilik nama Intan Najuwa Abdul Wahid ini diminta mengulas mengenai dakwaan netizen yang mengatakan dia berpisah dengan ahli perniagaan itu disebabkan Zul Ariffin.
Intan dan Razrul mengikat tali pertunangan pada 18 Ogos 2018 di Hotel Thistle, Johor Bahru sempena ulang tahun kelahiran aktres itu yang ke-22 namun pasangan ini mengambil keputusan untuk berpisah pada Februari tahun lalu. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT