Niatnya mahu mencarikan jodoh rakannya namun tindakan seorang rakyat Vietnam yang bekerja di Taiwan, mengundang padah apabila didenda pihak berkuasa. Lelaki terbabit mengiklankan pencarian jodoh buat rakannya yang juga rakyat Taiwan menerusi media sosial dengan mensasarkan wanita senegaranya.
Mesej iklan yang mengandungi maklumat peribadi rakannya itu ditulis dalam bahasa Vietnam. Memetik Taiwan News, Agensi Imigresen Kebangsaan (NIA) mengesahkan lelaki itu menyalahi Akta Imigresen Taiwan kerana membuat hantaran iklan perkahwinan di Facebook bagi menarik perhatian pengantin asing. NIA menekankan kesalahan mempromosikan perkahwinan antara budaya melalui iklan tanpa mengira bahasa yang ditulis. Katanya, lebih daripada 80 peratus individu yang melanggar undang-undang tahun lalu berkongsi iklan mereka di internet.
Agensi itu turut menggesa warga asing di Taiwan tidak mempromosikan perkahwinan antara budaya sebagai bentuk barang dagangan di media sosial. Sebaliknya, mereka menyarankan usaha mengatur pertemuan sebenar secara bersemuka. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT