Seorang lelaki nekad mencuri telefon bimbit isteri yang baru dinikahinya. TribunNews melaporkan, selepas bernikah, suspek mengambil telefon bimbit mangsa secara senyap-senyap dan memaklumkan kononnya dia mahu pulang ke Pulau Bangka.
Difahamkan, Susanto alias Jimy, 40, yang menikahi janda itu berjaya melarikan telefon bimbit mangsa sebelum ditangkap polis di Kertapati, Palembang. "Anggota menahan suspek yang mencuri telefon bimbit isterinya sendiri, Siti, 43, yang baru dinikahinya," kata Ketua Polis Daerah Kertapati AKP Irwan Sidik. Menurut laporan, suspek mengenali mangsa menerusi laman sosial mencari jodoh janda-duda. Mereka berkahwin pada 28 Februari sekitar jam 8 malam di rumah mangsa dengan mas kahwin berupa wang sebanyak 50,000 Rupiah (RM14). Selepas majlis akad nikah, mereka dikatakan tidur bersama sebelum suspek mengejut mangsa jam 4 pagi kononnya dia mahu pulang ke Pulau Bangka.
Bagaimanapun, apabila mangsa mahu menghubungi suaminya keesokan hari, dia mendapati telefon bimbitnya tiada. "Ketika mahu meminjam, dia mendapati telefon bimbit anaknya juga tiada," katanya. Curiga dengan keadaan itu, mereka terus membuat pemeriksaan hingga mengetahui lokasi suspek. Hasil siasatan mendapati ia bukan kali pertama, malah kali keempat suspek berbuat demikian. - CARI
|
ADVERTISEMENT