Kumpulan Hijjaz tidak kisah seandainya ada yang mempertikaikan tindakan mereka menyanyikan semula lagu Tiada Kata Secantik Bahasa dendangan asal Seniman Agong, Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang diberi nafas baharu.
Selepas lima tahun tidak menghasilkan single baharu, Hijjaz merasakan tidak mudah menduga selera penonton. Jadi, langkah terbaik memilih lagu yang sudah biasa di halwa telinga pendengar. Anggota Hijjaz, Isman Nadim Isam berkata, mereka tidak kisah dituduh mengambil kesempatan atas populariti lagu milik Seniman Agong, tetapi ia bukanlah satu kesalahan, apatah lagi, Hijjaz sudah mendapatkan kebenaran daripada syarikat rakaman yang memegang hak cipta lagu itu. "Apabila tampil dengan single, lagu itu perlulah ada faktor 'wow'. Jadi, ini antara sebab kami memilih lagu Allahyarham P Ramlee kerana lagu Tiada Kata Secantik Bahasa memang sudah melekat di hati peminat.
"Kami tidak kisah jika ada yang mempertikaikan tindakan ini, lagipun kami tidak membuat sebarang kesalahan. Sebaliknya kami hanya ingin mengajak peminat untuk selawat bersama-sama. "Hijjaz juga ingin membawa kelainan dan tidak mahu nasyid berada pada takuk lama. Disebabkan itulah kami berkolaborasi dengan penyanyi rock dan rap untuk menyuntik eleman berbeza dalam dalam lagu ini," katanya kepada BH Online. Bagi meluaskan skop pendengarnya, Hijjaz yang turut dianggotai Munif Ahmad, Mohd Faizal Osman dan Muhammad Ariffin Ahmad Rahim menjalinkan kerjasama dengan duo rap terkenal tanah air, Kmy Kmo dan Lucka Sickta serta bekas peserta program realiti Mentor musim ketujuh, Pasya untuk mendendangkan lagu berkonsepkan selawat itu. Ilham memilih lagu milik Seniman Agong itu tercetus kira-kira tiga tahun lalu ketika Isman berada di Madinah membawa rombongan umrah. Bagaimanapun, disebabkan faktor bajet, hasrat menghasilkan single terbaharu tertangguh agak lama, selain malas memikirkan uruskan mendapatkan kelulusan hak cipta lagu yang pastinya menyukarkan. Namun, penantian ternyata berbaloi dan doa dimakbulkan apabila Universal Music yang juga pemegang hak cipta lagu Allahyarham P Ramlee menawarkan projek single kepada mereka. Enggan menunggu lama, Hijjaz 'menyambar' tawaran yang dihulurkan syarikat rakaman itu. "Ketiadaan bajet membuatkan kami terpaksa memendamkan hasrat untuk menerbitkan lagu. Lagipun, ia membabitkan label yang besar, jadi pastinya prosesnya merumitkan. "Tetapi, mungkin inilah yang dinamakan rezeki apabila saya menerima panggilan telefon daripada Penasihat A&R Domestik Universal Music Malaysia, Hermond Cheng sebelum sambutan Maulidur Rasul, tahun lalu. "Dia tanya adakah saya mempunyai lagu babaru, jadi saya pun menceritakan kepada Hermond mengenai rancangan Hijjaz dan secara kebetulan, Universal Music adalah pemegang hak cipta lagu Allahyarham P Ramlee, jadi proses kami menjadi mudah. "Saya beritahu Hermond ingin mencari penyanyi rap untuk berkolaborasi dalam lagu ini. Mereka mencadangkan supaya bekerjasama dengan Kmy Kmo dan Luca Sickta, kebetulan saya memang mengagumi duo berkenaan. Mereka bukan sahaja boleh menyanyi rap dengan baik, malah lirik dihasilkan juga bagus. "Jadi, Hijjaz terus bersetuju dan kami meminta mereka menghasilkan lirik untuk bahagian rap pada lagu Tiada Kata Secantik Bahasa," kata Isman. Selain meminati lagu Allahyarham P Ramlee, Hijjaz juga melihat ia boleh menjadi 'ladang pahala' bukan sahaja kepada mereka yang mendengar, tetapi lebih penting pahala terus mengalir buat penyanyi legenda yang meninggal dunia pada 1973 itu. "Semoga dengan karya ini dapat menjadi ladang pahala bukan sahaja kepada mereka yang berselawat apabila mendengarkan lagu, malah pahala dapat mengalir kepada Allahyarham P Ramlee, itulah objektif utama saya. "Sepanjang berada di Masjid Nabawi, tiga tahun lalu, saya menggunakan kesempatan ini berbual-bual dengan Rasulullah SAW dengan menyatakan perancangan saya, sambil meminta baginda mengaminkan doa saya. Alhamdulillah, selepas hampir tiga tahun, hasrat ini akhirnya termakbul," kata Isman. Berkongsi pengalaman kali pertama berkolaborasi bersama Kmy Kmo dan Luca Sickta, Isman berkata, mereka cepat serasi. Proses rakaman dan penggambaran video muzik berjaya disiapkan dalam tempoh tidak sampai lima jam. "Saya seronok bekerja dengan mereka. Sangat baik dan berjaya memberikan apa yang Hijjaz mahukan. Pada sesi rakaman, kami sempat mengajar Pasya berqasidah kerana dia dan Munif tampil sebagai penyanyi solo untuk lagu ini, jadi perlu berqasidah," katanya. Lagu Tiada Kata Secantik Bahasa sudah dilancarkan empat bulan lalu, namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) proses promosi lagu tidak dapat dilakukan. Oleh itu, Hijjaz kini giat untuk mempromosikan lagu berkenaan supaya ia dapat dinikmati oleh lebih ramai pendengar. -CARI Sumber: Berita Harian
|
Sepanjang berada di Masjid Nabawi, tiga tahun lalu, saya menggunakan kesempatan ini berbual-bual dengan Rasulullah SAW dengan menyatakan perancangan saya, sambil meminta baginda mengaminkan doa saya. Alhamdulillah, selepas hampir tiga tahun, hasrat ini akhirnya termakbul," kata Isman.
jargon replied at 30-3-2021 11:36 PM
Geli aku nengok yg baju pink tuu..yg ni ke aku dgr berfantasi ngesek sama izazaim?
ADVERTISEMENT