Melakonkan watak Ustazah Anna dalam filem Penunggang Agama yang ditayangkan di saluran Astro First sejak 25 Mac lalu memberikan satu lagi pengalaman baharu dalam kerjaya lakonan Azira Shafinaz.
Bukan saja berbeza dari kebanyakan lakonan sebelum ini, tapi Azira, 30, atau nama sebenarnya Azira Shafinaz Ramlan menganggap ia watak yang cukup mencabar ditambah dengan genre filem itu. Menurut Azira, dia berfikir banyak kali sebelum menerima tawaran diberikan kerana watak itu berbeza daripada penampilan sebenar.
"Setiap kali dapat tawaran saya akan baca sinopsis dan jalan cerita. Untuk filem ini, apabila baca sinopsis saya berasakan sesuatu yang berbeza. Kalau bandingkan dengan kebanyakan drama lakonan saya, filem ini sangat berbeza. Selain itu, saya juga tak pernah bekerja dengan Syafiq Yusof. Jadi, apabila dapat peluang ini memang tak nak tolak dan buat sehabis baik. "Saya berfikir juga sebelum terima sebab apabila nak bawa watak ustazah tentu sahaja kena tengok dan berbalik pada diri sendiri. Apabila kita melakonkan sesuatu watak, kita kena tengok juga faktor lain. "Jadi, apabila fikir balik, saya yakin yang mana kita kena cabar diri untuk bawa watak lain. Sebab itu saya nak cabar diri untuk menjadi pelakon yang baik. Sebab itu saya terima," katanya. Dalam masa sama, Azira berterima kasih kepada pihak produksi kerana menyediakan seorang guru yang mahir dalam agama bagi memantau dan membetulkan bacaan ayat al-Quran ketika di lokasi. "Sejujurnya ketika penggambaran ada guru yang banyak membantu saya yang mana dia banyak beritahu surah apa yang patut dan sesuai digunakan. Ada beberapa pilihan surah, tapi saya bawakan yang mana saya selesa dan sampaikan. "Apabila nak sampaikan dalam babak yang menggerunkan kita tak boleh baca seperti biasa, tentu saja jika ikut logik akan baca dalam keadaan menggigil dan ketakutan. Alhamdulillah, saya baca satu persatu ayat dan ada yang tolong betulkan sebab saya bukan mahir sangat. "Tidak mahu nanti timbul pertikaian pula. Guru ini sangat membantu saya untuk lebih yakin membawakan watak Ustazah Anna. Dia adalah pelajar dari Arab Saudi iaitu kawan Syafiq dan isterinya," katanya. Ditanya adakah dia pernah berhadapan dengan 'penunggang agama', Azira berkata, dia tidak layak untuk menilai seseorang.
"Saya tak pernah jumpa orang sebegitu, tapi pernah mendengar cerita orang lain. Pengalaman sendiri tak pernah. Bagi saya, sebagai orang Islam, apa kita percaya dan belajar kena fahamkan betul-betul. "Kalau ikutkan contoh apa berlaku dalam filem ini, saya percaya kepada Allah. Jangan percayakan orang untuk sembuhkan atau bantu kita sembuh. Jadi untuk bercakap mengenai orang itu, saya tak layak. Tapi, kita kena percaya pada Allah," katanya. Selain Azira, filem terbitan Skop Productions Sdn Bhd dan Astro Shaw itu turut dijayakan pelakon hebat lain seperti Zul Ariffin, Nasir Bilal Khan, Salina Saibi, Sabrina Ali, Datuk Jalaludin Hassan, Johan As'ari dan pelakon kanak-kanak, Nurqaseh. Mengenai penampilan sebenar yang berbeza dengan watak Ustazah Anna, Azira memohon doa orang ramai supaya suatu hari nanti dia akan berhijab.
"Kalau untuk saya tentu saja nak terbaik untuk diri. Saya hanya harap orang ramai doakan yang terbaik untuk saya yang mana satu hari nanti akan berhijab. Ia ambil masa. Bagi saya apabila kita nak buat sesuatu perkara, saya tidak mahu ia secara drastik dan terus pakai. "Saya berasa naluri dan niat sangat penting. Kita kena betulkan diri kita. Mesti pernah terdetik, tapi mungkin belum sampai waktu saya berhijab. Harap orang ramai akan mendoakan untuk saya," katanya. Dalam soal kahwin pula, Azira menyerahkan perkara itu kepada ketentuan Allah SWT. "Kahwin, lambat lagi. Bagi saya jodoh di tangan Tuhan. Saya tak boleh nak cakap apa. Dengan yang lama masih berkawan. Buat masa sekarang, saya sibuk dengan kerjaya. Banyak lagi nak buat. Saya ada banyak perkara lagi nak tunjuk bakat dalam industri hiburan," katanya. Menurut Azira, status berkahwin atau tidak bukan menjadi kayu pengukur seseorang itu bertahan dan diterima dalam industri hiburan.
"Saya percaya pada rezeki. Kenapa saya masuk dalam industri hiburan pun sebab saya percaya bakat. Ini adalah satu pekerjaan yang saya minta. Bukan main buat saja. Bagi saya, kita kena yakin hasilnya akan datang lebih baik. Tak kisah sudah kahwin atau sebaliknya. Saya percaya pada rezeki," katanya. Mengenai kerjaya nyanyian bersama kumpulan De Fam pula, Azira berkata, mereka masih mencari lagu sesuai. "Buat masa sekarang De Fam 'berehat' dulu, tapi nak keluarkan single tahun ini. Kami berhenti sekejap sebab belum ada lagu yang betul-betul kena. Kami kena ada lagu yang kuat untuk dikeluarkan ditambah dengan penampilan Cik Manggis yang sudah bertudung. "Kalau boleh mahu De Fam lebih baik dan matang dari sebelum ini, cuma kami akan kekal menari dan genre De Fam sebelum ini," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|