Gara-gara berang, seorang lelaki warga Jepun bertindak melempar keluar wang bernilai 900,000 won (kira-kira RM3,303) dari tingkap bilik sebuah hotel di Yongin dekat wilayah Gyeonggi, Korea Selatan.
The Korea Times melaporkan, insiden itu berlaku jam 10.40 pagi, Sabtu lalu. Jurucakap Polis Yongin Dongbu memaklumkan lelaki berusia 60 tahun itu sedang menjalani kuarantin di sebuah bilik dekat tingkat 13 hotel berkenaan. Lelaki terbabit bertindak begitu kerana tidak berpuas hati terhadap salah seorang kakitangan di hotel berkenaan. Ia selepas kakitangan terbabit memintanya membayar 1.6 juta won (kira-kira RM5,871) sebagai wang pendahuluan untuk menginap di hotel berkenaan. Difahamkan, berlaku pertengkaran mulut antara mereka sebelum akhirnya, lelaki itu melempar puluhan wang kertas 50,000 won (kira-kira RM143), enam keping wang 10,000 won (RM37), sekeping wang 5,000 won ( RM18) dan tiga keping wang 10,000 yen (kira-kira RM375).
Semuanya berjumlah 900,000 won (RM3,303). Susulan itu, polis mengutip wang yang jatuh bertaburan di atas jalan raya. Wang itu kemudiannya diserahkan kepada kakitangan hotel. Kakitangan hotel memulangkan wang itu kepada lelaki terbabit sewaktu mendaftar keluar dari hotel berkenaan. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT