Genap sebulan melengkapi trio Geng Pagi Hot (GPH) di stesen radio Hot FM, ia bukanlah satu tugasan mudah buat artis serba boleh, Riena Diana, 24, apatah lagi, perlu membahagikan masa antara tanggungjawab sebagai pelakon, penyampai radio dan pengacara.
Kedengaran tugas penyampai radio seperti mudah, hanya bercakap di corong radio, namun Riena diberikan tugas khas menghiburkan pendengar. Disebabkan itu, Riena beberapa kali mengalirkan air mata dalam tempoh sebulan ini. Riena atau nama sebenarnya, Nur Qamariena Diana Zulreal mengendalikan segmen GPH bersama Fizie dan Mark Adam setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 hingga 10 pagi sejak 24 Februari lalu. Kongsi Riena, dia tidak sengaja datang lewat pada hari kedua ke udara. "Kelewatan ini menyebabkan saya dipanggil majikan kerana terlepas slot pertama. Saya tiba sekitar jam 6.30 pagi, sepatutnya saya perlu berada di konti sebelum jam 6 pagi.
"Jujurnya, minggu pertama sangat sukar buat saya. Saya terima tawaran sebagai penyampai radio kerana sebelum ini jadual lakonan kosong, memandangkan masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi, saya anggap penggambaran bermula selepas sebulan saya berada di konti. "Saya fikirkan bolehlah mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dengan tugasan baharu. Bagaimanapun, penggambaran drama bermula sebaik saya memulakan tugas sebagai penyampai radio. "Penggambaran drama habis tidak tentu masa, itu yang membuatkan saya lewat ke konti," katanya yang terikat dengan penggambaran drama Kisah Cinta Rumi bersama Khai Bahar. Bagaimanapun, Riena berkata, dia mula pandai membahagikan masa selepas beberapa minggu bergelar penyampai radio.
Namun, ia bukan mudah, malah terpaksa mengorbankan waktu tidur supaya tidak lewat ke konti. "Bayangkan, saya ke udara jam 6 pagi, jadi saya tiba di konti jam 5.30 pagi. Jika penggambaran habis tengah malam agak-agak jam berapa saya tidur? "Penggambaran habis tidak menentu, jadi ada masanya saya tidak balik rumah. Saya tidur di lokasi penggambaran. "Mujurlah, saya kini menjalani penggambaran di rumah, jadi ada bilik untuk berehat. Saya berehat di bilik yang disediakan, sebelum ke konti. "Bohonglah kalau saya cakap tidak penat. Ada masanya, saya rasa mahu menangis, tetapi apabila masuk minggu kedua, semuanya sudah semakin selesa. Apabila hujung minggu apabila tidak perlu ke konti pun saya akan bangun awal," katanya kepada BH Online. Bagaimanapun, kata Riena, dia masih dalam proses membiasakan diri dengan tugasan baharunya itu. Katanya, masih banyak ruang yang perlu dipelajari memandangkan ini adalah kali pertama memikul tanggungjawab sebagai penyampai radio.
"Jika diimbas semula, saya tidak pernah menjadi pengacara, langsung tak hadiri kelas untuk belajar bercakap. Jadi, ini adalah kali pertama saya mengendalikan tugas sebagai penyampai. "Namun, Alhamdulillah, saya mendapat maklum balas positif. Ada pendengar mengatakan seronok mendengar keletah saya. Tetapi, ada juga memberi pandangan saya perlu banyak belajar dan saya suka membuat 'fake laugh'. "Tidak nafikan, saya kena banyak belajar, tetapi secara keseluruhannya saya okay. Ini kerana Mark dan Fizie banyak membantu," katanya. Namun, dalam pada itu, Riena juga meluahkan kerisauan mengenai jenaka yang dilontarkan, bimbang dianggap tidak kelakar. Mengakui banyak mendapat inspirasi jenaka daripada kekasihnya yang berperwatakan lucu, Riena menggunakan ideanya ketika berada di konti.
"Susah sebenarnya nak cari idea kelakar, tetapi kekasih saya seorang yang suka berjenaka. Jadi, sedikit sebanyak banyak idea yang dikongsi digunakan. "Selain itu, saya banyak menonton drama dan filem komedi sebagai rujukan. Namun, Mark dan Fizie sebenarnya sudah cukup kelakar. Kebanyakan lawak kami secara spontan," katanya. Awalnya, Riena hanya diundang sebagai penyampai jemputan di Hot FM. Namun, melihat keserasian dan maklum balas positif pendengar, stesen Hot FM memutuskan menjadikannya penyampai tetap menerusi slot GPH. Menyifatkannya sebagai rezeki, pelakon kecil molek itu turut mengatakan dunia penyiaran radio memberi peluang untuknya mengasah bakat sebagai artis versatil. Biarpun begitu, katanya, dunia lakonan tetap menjadi keutamaan, cuma kini, fokusnya kepada dunia penyiaran radio memandangkan masih baru dan banyak ilmu perlu ditimba. "Saya masih menerima tawaran berlakon. Saya sudah katakan mereka perlu memahami komitmen lakonan sebelum menandatangani kontrak bersama Hot FM. Alhamdulillah, stesen radio memahami dan memberi ruang untuk saya berlakon. "Cuma, saya perlu lebih bijak membahagikan masa supaya jadual bersama Hot FM dan lakonan tidak bertembung. Jadi, apa yang dilakukan sekarang adalah memastikan aktiviti seni dirancang awal supaya tidak memberi masalah kepada semua pihak," katanya. Selain berlakon dan bertugas sebagai penyampai radio, Riena juga kini perlahan-lahan menggilap bakat sebagai pengacara. "Setakat ini, saya mengendalikan program Gempak TV dan Muzikal Lawak Superstar sebagai pengacara digital dan belakang pentas. Itu pun satu pengalaman menarik untuk saya, biarpun agak penat melakukan banyak cabang kerjaya pada ketika ini. "Namun, kesibukan ini mengajar saya lebih menghargai masa. Kalau dahulu, 'call time' jam 8 pagi pun saya rasa sudah awal sangat. Tetapi, sekarang saya mula bersiap sedia pergi bekerja seawal jam 4 pagi. "Sedikit sebanyak saya rasa pengurusan masa lebih teratur. Sangat penting untuk saya mengatur masa kerana tidak mahu jatuh sakit. Apa yang lebih penting, saya cuba letakkan matlamat dan mencapai apa yang diinginkan," katanya.
Memulakan kerjaya sebagai pelakon selepas dipilih finalis Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) pada 2017. Watak Dr Qadeeja menerusi drama Nur berjaya memperkenalkan Riena dalam persada lakonan. Gadis kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu mula mencipta populariti menerusi drama Kampung People. Hingga kini, Riena lebih dikenali dengan panggilan Laila atau Lailer. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|