Ketampanan wajah aktor, Ako Mustapha menjadi kegilaan ramai, suatu ketika dahulu. Malah, berilah apa sahaja watak sama ada antagonis atau protagonis, semuanya mampu dibawa dengan baik.
Antara drama yang berbekas di hati tentulah Dalam Hati Ada Cinta, Salina dan Sephia yang menjulang nama Ako sebaris dengan hero drama lain. Namun, kini, zaman kemasyhuran Ako atau nama sebenarnya, Muhaizad Ahmad Mustapha sudah berlalu. Wajahnya juga sekian lama tidak kelihatan di kaca televisyen (TV). Bukan terus mengucapkan selamat tinggal terhadap dunia seni, sebaliknya Ako mencuba haluan berbeza daripada apa yang sering dilakukannya. Lebih dua dekad bergelar pelakon, Ako yang juga bapa kepada empat cahaya mata akuinya, memperlahankan rentaknya sebagai seorang pelakon. Kali terakhir membintangi drama Bukan Gadis Biasa, tahun lalu.
Ako berkata, dia semakin selesa menduduki kerusi penerbit berbanding pelakon.
"Saya semakin seronok bergelar penerbit kerana cabarannya berbeza daripada berlakon. Bagaimanapun, ia masih dalam bidang seni kreatif. "Setakat ini, saya sudah menerbitkan hampir 10 drama dan dalam proses menyiapkan filem Baik Punya Along arahan Datuk Afdlin Shauki yang kini sudah memasuki peringkat pos-produksi. "Saya sedar pada usia 49 tahun bukan mudah memilih watak yang dimahukan. Saya hanya dapat apa yang diberikan, bukan apa yang dimahukan. Ini membuatkan saya lebih seronok berjinak-jinak dalam dunia penerbit," katanya kepada BH Online.
Mengakui persaingan lebih mencabar berbanding awal 2000, Ako berkata, dunia penerbitan membolehkannya meneroka dan mencipta apa sahaja yang diingini, asalkan tidak menyalahi undang-undang dan memenuhi kehendak stesen TV. Akuinya, dia lebih selesa tekanan dihadapi penerbit berbanding pengarah atau pelakon. Pernah cuba menduduki kerusi pengarah hampir 12 tahun, Ako berkata, dia terpaksa menyerah kalah kerana tidak betah menahan tekanan dan tanggungjawab berat.
"Tekanan terlalu hebat hingga saya buat keputusan tidak mahu mengarah lagi. Pengarah perlu berlapang dada menerima penilaian orang lain. Ia amat mencabar dari segi emosi. "Bagaimanapun, peranan penerbit lebih kepada penyelesai kepada masalah. Tidak dinafikan, memang ada tekanan, tetapi tidaklah seberat yang ditanggung pengarah," katanya. Berkongsi kemunculan filem sulung, Baik Punya Along, Ako berkata, dia tidak sabar mempersembahkan karya yang menggandingkan Johan dan Zizan Razak kepada peminat. Namun, katanya, pada masa sama, dia juga berdebar apabila melihatkan situasi panggung wayang tidak menentu akibat kesan pandemik COVID-19. Bahkan, Ako berkata, proses menyiapkan filem juga tertangguh beberapa kali akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu. Katanya, apa dibimbangi kos yang dikeluarkan tidak balik modal hingga terpaksa menanggung kerugian.
"Sasaran saya mahu menghasilkan filem. Jadi, tiada langsung perancangan untuk membawa filem Baik Punya Along ke platform alternatif lain. "Namun, dalam situasi tidak menentu, saya, Afdlin dan pelabur ada terfikir membawa filem ini ke platfom alternatif lain, tetapi kami yakin dengan gandingan Johan dan Zizan mampu menarik penonton ke panggung wayang," katanya. Mengulas susuk tubuhnya kelihatan kurus, Ako mendedahkan, dia menghidap penyakit kencing manis, tetapi kini, sedang menjaga pemakanan. Ako berkata, berat badannya turun sekitar 20 kilogram (kg) iaitu daripada 90kg kepada 70kg.
"Saya mula menyedari menghidap kencing manis selepas sering berasa haus. Tekak asyik nak minum, sedangkan saya baru lepas membasahkan tekak. "Kemudiannya, saya mendapati ada semut di tandas. Dari situ, saya sudah dapat menjangkakan saya menghidap kencing manis. Kini, saya menjaga pemakanan dan mengambil ubat. Saya mengikut nasihat doktor supaya dapat merawat penyakit ini," katanya yang mendirikan rumah tangga dengan pengurusnya, Kartina Shuaib kira-kira 12 tahun lalu. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|