Seorang nenek menghidap demensia ditahan polis hanya kerana terlupa membayar AS$13 (RM53.63) untuk barangan dibelinya di sebuah kedai. Lapor Metro, pegawai polis Loveland, Austin Hopp digantung kerja selepas didakwa menggunakan kekerasan ketika menangkap Karen Garner, 73, sehingga mengakibatkan kecederaan di bahagian bahunya.
Tindakan itu diambil selepas rakaman kamera badan menunjukkan anggota polis itu menolak Garner ke tanah, menggarinya dan kelihatan memusingkan lengannya ke belakang sehingga bahu warga emas tersebut terkehel. Video itu dikeluarkan selepas peguam mewakili Garner memfailkan tuntutan mahkamah Persekutuan yang mendakwa Hopp telah menggunakan `kekerasan berlebihan’ semasa insiden penangkapan pada 26 Jun tahun lalu. Garner menuntut sejumlah ganti rugi yang tidak ditentukan bagi insiden itu yang disifatkan oleh peguamnya, Sarah Schielke sebagai `kes penyeksaan’.
Berdasarkan tuntutan mahkamah, Garner ditahan polis Loveland selepas pekerja Walmart menyedari bahawa warga emas itu meninggalkan kedai tanpa membuat bayaran bagi barangan dibelinya. Barangan tersebut berupa gula-gula, tin minuman dan baju T yang keseluruhannya berjumlah AS$13.38 (RM55.20). Hopp kemudian mengejar Garner semasa dia berjalan pulang ke rumah dan bertindak menahannya, lapor Greeley Tribune. Video tersebut turut menunjukkan ketika polis menarik lengan Garner, terdengar bunyi retakan dan warga emas itu menangis dalam kesakitan. Menurut satu lagi tuntutan mahkamah, Hopp menyerang Garner secara ganas tanpa provokasi. Jelas Schielke, anak guamnya mengalami patah lengan dan bahunya terkehel dalam kejadian tersebut. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT