Meskipun penularan Covid-19 dalam negara sejak tahun lalu, menghalang kebanyakan penyanyi terbabit dengan aktiviti persembahan, ia tidak mematahkan semangat penyanyi Atilia Haron untuk terus berusaha mencari rezeki.
Bagi meneruskan kelangsungan hidup, Atilia yang juga bertindak sebagai jurulatih yoga tampil memberanikan diri menceburi bidang fesyen. Baru-baru ini, dia memperkenalkan koleksi fesyen eksklusif berteraskan batik, khusus untuk pengamal yoga.
Koleksi dikenali Atilia X Batik Boutique ini, adalah kerjasama di antara Hippie Hub dan Artisan-Centred Boutique sebagai usaha kreatif yang tercerna sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu. Menurut Atilia, menerusi kerjasama itu, ditampilkan koleksi tikar senaman dan beberapa aksesori fesyen berteraskan batik bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat untuk orang ramai selama berhadapan situasi pandemik. "Pada koleksi rekaan, saya diketengahkan insiprasi ikan laga atau ikan betta yang dipilih kerana ia memiliki simbol kepahlawanan dan dalam masa sama memberi semangat untuk menjadi terbaik apabila mengunakan tikar senaman ini. "Malah, pemilihan rona hitam, merah dan emas di dalam koleksi fesyen batik ini juga sebagai simbol kekentalan kepada sesiapa yang memilikinya. Tak dinafikan, memang ada sebab mengapa saya memilih rekaan dan variasi rona yang kuat," katanya. Menurut penyanyi jazz terkenal tanah air ini, apa yang pasti dia sangat percaya pemilihan rekaan dan warna yang tepat mampu membawa kuasa cukup bertenaga dalam diri.
"Sebenarnya bukan sahaja kepada individu yang menggunakan produk saya, tapi juga barisan penggiat seni yang terbabit dalam penghasilan rekaan bagi koleksi ini. Mereka sangat komited dan mempunyai pelbagai idea segar. "Pada musim di mana sanitasi dan kebersihan menjadi perkara utama dalam hidup, inilah masa yang terbaik untuk memiliki tikar senaman sendiri yang dibawa ke studio atau pusat gimnasium ketika melakukan senaman fizikal seperti yoga," katanya. Selain tikar senaman selesa untuk bersenam, ditampilkan juga koleksi kimono canting tangan batik yang menawan serta boleh disuai padan dengan persalinan asas setiap wanita.
"Saya menyifatkan, rekaan kimono ini sangat praktikal dan selesa dipakai terutama apabila kelas senaman seawal jam 7 pagi atau tampil bergaya untuk keluar minum kopi bersama rakan. "Bahkan, bagi melengkapkan penampilan itu sesuai dengan penerapan norma baharu, ia turut disertakan rekaan pelitup muka demi menjaga keselamatan pengguna," katanya. Sehubungan itu, terdapat dua rekaan pelitup muka yang memiliki tiga lapisan diperkenalkan. Ujar Atilia, menariknya pelitup muka itu direka daripada motif ikan betta yang cantik.
Tidak terkecuali, bagi melengkapkan gaya penampilan mereka yang gemar bersenam yoga, ditampilkan juga 'headband' diperbuat daripada 100 peratus kain sutera asli yang memiliki sentuhan warna menarik dan ceria. Sekalipun cintanya pada nyanyian tidak pudar, Atilia berkata dia harus positif berusaha mempelbagaikan kemahiran diri untuk memperoleh sumber pendapatan berterusan kerana sebesar mana ujian dihadapi, kehidupan harus diteruskan.-CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|