Selepas hampir 10 tahun bergelar pelakon, Fattah Amin kini mengorak langkah dalam bidang pengacaraan. Fattah buat pertama kalinya bergelar pengacara dalam program realiti berjudul Sukses 4.0.
"Ketika menerima tawaran ini, saya tidak mengambil masa lama untuk membuat keputusan. Saya terima tawaran ini sebagai peluang baru untuk saya ceburi selepas hampir sedekad berada dalam industri hiburan. "Walaupun sedar tanggungjawab yang dipikul ini tidak mudah, tapi saya cuba sehabis baik untuk memastikan segala perkongsian dapat disampaikan secara jelas dan bersahaja. "Setakat ini, saya tidak hadapi sebarang kesukaran, cuma saya perlu pastikan pembabitan saya sebagai pengacara dapat diterima ramai," katanya. Menurut Fattah, beberapa hari sebelum penggambaran bermula, dia ada menghubungi pengacara terkenal Datuk Aznil Nawawi atau Paknil bertanyakan mengenai teknik pengacaraan. "Kerjaya ini masih baru bagi saya. Namun, saya tiada masalah untuk bermula dari bawah. "Setiap orang melalui proses pembelajaran dan pengalaman untuk menjadi lebih baik. Namun, sebagai persiapan saya ada bertanya kepada Paknil sebelum memasuki set penggambaran hujung bulan lalu. "Alhamdulillah banyak tips dan ilmu baru saya pelajari dengannya. Dia sangat positif dan tidak lokek berkongsi pengalaman dimiliki," katanya.
Program Sukses yang dibawakan SME Bank kini muncul dengan jenama Sukses 4.0. Berbeza dengan tiga musim lalu, Sukses 4.0 kini tampil dengan konsep realiti bagi mencungkil bakat usahawan era pemasaran digital. Program terbitan Medyavizyon Sdn Bhd itu bertujuan mencungkil bakat usahawan dalam kalangan individu yang baru menubuhkan syarikat, usahawan muda dan mereka yang mempunyai idea perniagaan menarik.
Bakal bersiaran selama 13 episod di Astro Awani pada awal Jun ini, seramai 10 peserta bakal mengharungi cabaran setiap minggu dan akan diadili oleh empat juri tetap. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|