Lakonan bersahaja dan aksi mencuit hati penyanyi Sufian Suhaimi dalam drama Kampung Kolestrol berjaya mencuri perhatian penonton. Mengakui bukan mudah melakonkan watak komedi dalam drama ini, Sufian, 29, berkata dia memberanikan diri menerima tawaran berlakon kerana mahu mencabar diri sebagai seorang anak seni.
"Sebagai seorang penggiat seni saya suka cuba banyak benda baru, sebelum ini jadi penyanyi pun kita bereksperiman dengan banyak muzik baharu tapi memandangkan pandemik Covid-19, tiada persembahan jadi kita cuba pengalaman baharu melalui lakonan. "Memang mencabar... jauh berbeza antara menyanyi dan lakonan kerana apabila terlibat dengan drama kita kena beri komitmen yang tinggi, masa kita diperuntukkan di set penggambaran.
"Kalau menyanyi pula, selesai show, dapat bayaran dah boleh balik... tapi berlakon sesebuah drama boleh mengambil masa sebulan kita perlu berada di set lokasi. Ini satu benda baharu untuk saya tapi menyeronokkan," katanya kepada mStar.
Dalam drama Kampung Kolestrol, Sufian membawakan watak Adi iaitu anak kepada Kak Bib lakonan Mas Idayu. Pertama kali membawa watak komedi, penyanyi lagu Di Matamu ini mengakui bukan mudah untuk menonjolkan karakter berbeza dengan realiti dirinya itu. Lebih mengujakan apabila mengetahui perlu bergandingan dengan tiga nama besar industri seni tanah air iaitu Mas Idayu, Ziana Zain dan Rusdi Ramli.
"Bukan mudah bawa watak komedi sebab itu bukan saya! Saya ni biasa-biasa sahaja... selalu di luar orang tengok saya seorang yang serius. "Apabila ditawarkan berlakon drama ini, perkara pertama buat saya teruja ialah dapat bekerjasama dengan dua diva yang kita tahu memang nama besar. "Rasa sangat rendah diri dapat bergandingan bersama mereka... secara peribadi sangat mudah bekerjasama bersama bintang-bintang besar ini dan kami semua rasa macam berada di rumah sendiri," ujarnya.
Ditanya mengenai perkembangan karier nyanyiannya, Sufian memberitahu dia bakal muncul dengan single baharu selepas hari raya Aidilfitri ini. "Awal Ramadan ini saya habiskan penggambaran drama ini, kemudian saya akan menjalani rakaman single baharu. "InsyaAllah lagu baharu berjudul Cinta Tak Bertepi akan dilancarkan dalam masa terdekat... selepas raya ini saya akan kembali aktif dalam bidang muzik dan uruskan perniagaan. Buat masa ini semuanya okay Alhamdulillah," katanya.
Kampung Kolestrol bersiaran di slot Diandra (TV9) setiap hari Isnin hingga Rabu pukul 8.30 malam. Drama arahan pengarah Shuhaimi Lua ini dibintangi oleh Ziana Zain, Mas Idayu, Aiman Tino, Rusdi Ramli dan Sufian Suhaimi. -CARI Sumber: mStar Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|