Seorang peminat K-Pop dimasukkan ke hospital selepas cuba mengamalkan diet selebriti kesayangannya, Jackson Wang GOT7. Koreaboo melaporkan wanita yang dikenali dengan nama kandungan media, Borararax2 itu juga terpaksa menjalani pembedahan termasuk meletakkan tiub di saluran tekak dan melakukan ujian kesan pengambilan laktos dan glukos.
Ujian itu akhirnya mendedahkan dia tidak boleh mengambil apa-apa makanan yang dimakan ketika mengamalkan diet itu. Dalam video dikongsinya di TikTok dan tular ketika ini, Borararax2 berkata, dia sudah dalam tempoh diet ketat sebelum mencuba diet diamalkan Jackson yang mengurangkan karbohidrat dan tinggi fruktosa. Dia memilih untuk mengamalkannya selama tiga hari namun pada hari kedua, gadis itu sudah mula sakit dan dimasukkan ke hospital. Permulaannya semua nampak baik yang mana untuk sarapan, dia mengambil detox shakes seperti Jackson yang mengandungi banyak buah dan sayuran.
Borararax2 percaya ia kandungan utama yang menjejaskan badannya dan dia berkongsi bahawa dia tidak sepatutnya mengambil makanan mengandungi tinggi gula walaupun gula semula jadi seperti epal dan buah pir. Dalam video itu, dia menjelaskan makanan yang dimakannya mengandungi bahan yang memberi tindak balas negatif kepada tubuh badannya dan menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh untuk mencuba diet selebriti tanpa sebarang pandangan pakar. "Sekiranya anda ingin mencuba diet apa pun, lebih baik berjumpa doktor terlebih dahulu. Penting juga untuk tahu bahawa tubuh setiap orang berbeza," katanya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT