Seorang wanita hampir hilang penglihatan selepas tersilap menitiskan gam kuku di matanya selepas menyangka ia ubat titis mata. Yacedrah Williams dari Detroit, Michigan, Amerika Syarikat pada mulanya tertidur dengan memakai kanta lekap.
Menurutnya, kira-kira jam 1 pagi, dia terbangun dan ingin mengeluarkan kanta lekap selepas merasakan bebola matanya kering. "Sebelum mengeluarkan kanta lekap, saya akan menitiskan ubat mata terlebih dulu," katanya. Wanita itu kemudian membuka beg tangannya dan mengambil ubat titis mata, yang sebenarnya gam kuku, berikutan kedua-duanya berwarna putih. Dia kemudian menitiskan gam kuku ke dalam matanya. "Saya menjerit dan gam kuku itu sudah berada dalam anak mata saya menyebabkan mata tertutup. "Saya cuba membuka mata kembali, tetapi tidak berjaya dan menjerit kepada suami untuk menghubungi 911," katanya seperti dilaporkan Fox News.
Menurutnya, dia dibawa ke hospital dan doktor berjaya membuka kelopak matanya dan membuang kanta lekap. Doktor memberitahu Yacedrah kanta lekap itu kemungkinan menyelamatkan penglihatannya. "Mereka mengatakan kanta lekap itu menyelamatkan penglihatan saya," katanya kepada WXYZ-TV Detroit. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT