Pertandingan kostum semestinya segmen terpenting dalam keseluruhan penganjuran Miss Universe. Kali ini, tema Kampungku bakal dibawa Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong James, ke pentas ratu cantik nombor satu dunia, Miss Universe 2020 yang berlangsung pada 16 Mei ini di Florida, Amerika Syarikat (AS).
Menurut Harian Metro, kostum seberat 45 kilogram rekaan Carven Ong itu berkonsepkan kemeriahan suasana kampung yang cukup dekat di hati masyarakat Malaysia. Persis landskap rumah tradisional kampung dengan elemen penuh nostalgia, konsep merangkumi replika ayam, pokok kelapa, basikal tua itu mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan dan turut memiliki elemen kejutan. Difahamkan, Francisca bakal menyarung dua gaun untuk kostum itu. Gaun pertama berwarna hitam putih dengan motif pua dari Sarawak, manakala gaun keduanya berona keemasan dengan sarung kepala replika anak patung rekaan Wesley Hilton. Tahun sebelumnya, kostum makanan kaum Peranakan dipertandingkan Miss Universe Malaysia 2019, Shweta Sekhon mencetuskan kontroversi apabila diumumkan menang kostum terbaik, namun bertahan empat jam sahaja sebelum Organisasi Miss Universe membetulkan kembali keputusan itu dan mengesahkan kostum Filipina adalah pemenang sebenar. Sebelum ini, antara kostum yang pernah dipertandingkan di acara itu termasuk Menara Berkembar KLCC, Nasi Lemak, Perahu Bangau, Dewi Kenyalang dan banyak lagi.
Pada masa yang sama, gaun malam rasmi rekaan Rizman Ruzaini turut akan digayakan Francisca nanti. Gadis keturunan Dayak kelahiran Kuching, Sarawak itu dinobatkan pemenang Miss Universe Malaysia 2020 pada September tahun lalu. Sebagai info, Francisca mencipta sejarah menjadi gadis pribumi asli pertama menang gelaran terbabit. Semoga kali ini ada rezeki untuk Malaysia. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|