Kecoh di laman sosial apabila ada pihak mendakwa Abe Burger menjalani kehidupan mewah. Sehubungan itu, isterinya seperti dilaporkan Sinar Harian yang dipetik Gempak, Norlaili memohon orang ramai berhenti 'menyiasat' kerana ia hanya akan menimbulkan fitnah. Tegasnya, kereta Honda dan rumah yang ditularkan itu adalah hasil titik peluh mereka menjalankan perniagaan sejak 16 tahun lalu. Tidak adil untuk menuduh pasangan itu menjalani kehidupan mewah, malah mereka masih terikat dengan hutang untuk membayar rumah dan kereta berkenaan yang dibeli pada 2018.
"Rumah ini hutang dengan adik-beradik dan mentua lebih RM16,000 belum terbayar. Mujur adik memahami. "Saya jual barang kemas untuk bina rumah ini, 306 meter persegi, tiga bilik saja pun. Mungkin binaan dari luar kelihatan sepeprti banglo mewah. "Kereta beli tahun 2018, bukanlah hak saya, hak bank, masih hutang. Allah maha besar, saya sudah tidak mampu jelaskan satu persatu, cukup-cukuplah tu," katanya. Dalam masa sama, dia menjelaskan foto tular menjamu selera di restoran mewah hingga mencecah RM1,000 adalah bagi memenuhi permintaan adiknya yang hamil dan mengidam. Jelasnya, itulah kali pertama dia makan steak mahal di restoran bersebelahan Kota Darul Naim. Malah, mereka makan lebih 10 orang yang mana bilnya dikongsi antara mereka. Kisah Abe Burger tular selepas dikompaun RM50,000 kerana berniaga burger lebih masa di hadapan rumahnya. - CARI
|
ADVERTISEMENT