Vokalis Akim & The Majistret, Akim Ahmad menafikan bakal meninggalkan kumpulan yang dinaungi sejak 2014. Sebaliknya, keputusan bergerak solo hanyalah untuk projek single terbaharu, Bayang.
Akim berkata, single Bayang sudah lebih setahun disimpan sebelum dirakam dan dilancarkan sebagai single solo. "Karya ini berada dalam simpanan saya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu. Stacy mencadangkan single Bayang dirakamkan, bagaimanapun saya belum bersedia ketika itu. "Stacy mengatakan lagu ini sangat sesuai dengan saya. Tetapi, saya belum dapat menangkap melodi dan muziknya.
"Secara kebetulan, ada projek terbaharu daripada Nova Music yang memerlukan saya untuk merakam single secara solo. Jadi, saya ambil keputusan merakamkan single ini, memandangkan karya sudah pun ada. "Ketika proses rakaman, Stacy yang menjaga vokal saya. Karya ini antara kerjasama istimewa kami dan memiliki nilai sentimental yang tersendiri," katanya kepada BH Online.
Single Bayang hasil ciptaan Hang Nadim dan lirik oleh Hang Nadim, Bunga Cantik dan Arisz Ab Rahman. Ia memberi nafas baharu kepada muzik Akim, sekali gus menampilkan sisi berbeza penyanyi itu sepanjang 12 tahun pembabitannya sebagai penyanyi. Artis kelahiran program realiti, Akademi Fantasia (AF) musim ketujuh itu berkata, single Bayang disifatkan sebagai satu evolusi sebagai penyanyi. "Dari segi bunyi dan muzik, ia berbeza dengan konsep Akim & The Majistret. Muzik single Bayang lebih mengetengahkan instrumen elektronik, malah sangat istimewa kerana hasil cetusan idea saya dengan Stacy. "Disebabkan single Bayang projek solo, jadi saya mahukan sesuatu baharu. Sebelum ini, saya pernah bergerak solo. Tetapi, kali ini saya ingin menunjukkan sisi berbeza pula. "Selepas lima tahun bersama Akim & The Majistret, mungkin peminat ingin melihat saya kembali sebagai Akim Ahmad. "Jadi, inilah buah tangan terbaharu untuk peminat yang merindukan Akim Ahmad. Dalam erti kata lain, single Bayang ini satu evolusi muzik dan kerjaya saya," katanya.
Berkongsi mengenai single Bayang yang baru sahaja dilancarkan, minggu lalu, Akim berkata, liriknya mengisahkan kehidupan seharian. Menariknya, single Bayang dipilih menjadi lagu tema utama drama bersiri, Sabarlah Duhai Hati terbitan Suhan Movies & Trading yang bakal disiarkan menerusi slot Akasia sejak 23 April lalu. Mengulas hubungannya dengan Akim & The Majistret, Akim menjelaskan, kumpulan yang turut dianggotai Freddy, Faiz Azizi Arlis, Faqo dan Safwan Hassan masih lagi aktif.
"Akim & The Majistret masih ada. Kami sedang dalam perancangan untuk projek album terbaharu. Proses mencari material berkualiti akan mengambil masa, jadi tiada istilah Akim & The Majistret berhenti seketika. "Bagi saya, kerjaya perlu berjalan serentak, sama ada secara solo mahupun bersama Akim & The Majistret," katanya. Single Bayang kini boleh distrim di semua pelantar muzik digital termasuk Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan YouTube Music. Video lirik rasmi single Bayang juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|