Setelah kecoh dengan berita gerai-gerai di Kelantan dikenakan kompaun RM50,000 kerana melanggar SOP, kini satu lagi kes yang hampir sama berlaku di Kota Kinabalu, Sabah. Seorang pemilik gerai yang yang menjalankan perniagaan bab! hutan panggang telah dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 kerana membenarkan pelanggan masuk ke premis perniagaan tanpa mendaftar MySejahtera dan menulis butir-butir peribadi di dalam buku daftar. Memetik FMT, pemilik gerai, Rayner Longtin, 32 berkata insiden tersebut berlaku pada kira-kira pukul 10 malam ketika gerainya sudah menghentikan perniagaan dan semua barang telah pun disimpan di dalam stor termasuklah Kod QR MySejahtera, alat pengimbas suhu dan buku rekod kedatangan pelanggan. Pada masa itu masih ada lagi lima atau enam orang pelanggan di gerai namun mereka telah mendaftar sebelum makan di situ. Dua rakannya turut berada di gerai, menunggu untuk menghantarnya pulang dan ketika itulah beberapa orang polis telah datang dan memintanya mengeluarkan Kod QR MySejahtera, alat pengimbas suhu dan buku rekod kedatangan pelanggan.
"Mereka mempunyai hak untuk berbuat demikian namun saya tidak tahu apa tujuan mereka kerana gerai saya telah ditutup. Saya terkejut apabila mereka telah memberikan notis tuntutan untuk membayar kompaun sebanyak RM50,000. Dua rakan saya turut dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 seorang. Pelanggan lain yang sedang makan tidak dikenakan kompaun kerana telah mendaftar masuk menggunakan MySejahtera. Rayner mempersoalkan samada polis memang boleh mengeluarkan kompaun yang sebegitu tinggi dan berkata dia dan rakannya tidak mampu untuk mencari wang sebanyak yang diminta di dalam masa yang singkat namun dalam masa sama dia bersyukur kerana ada individu-individu prihatin yang membantu dia dan dua rakannya membuat rayuan dan menyelesaikan bayaran kompaun tersebut. Sementara itu, Komisioner Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali mempertahankan tindakan anggota polis yang mengeluarkan kompaun tersebut dan berkata pemilik gerai bab! hutan panggang itu bukan sahaja telah melanggar SOP PKP tetapi telah melakukan empat kesalahan lain. "Berdasarkan aduan yang diterima, gerai bab! panggang tersebut sering memasang muzik dan karaoke sehingga lewat malam dan mengganggu ketenteraman awam. Siasatan awal mendapati gerai tersebut menjual minuman keras tanpa lesen serta tidak mempunyai lesen hiburan awam. Permit untuk menjual daging bab! hutan juga tidak dimiliki pemilik gerai dan kesalahan tersebut boeh dikenakan denda maksimum sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun jika sabit kesalahan. |
ADVERTISEMENT